Pemuda diseru pertahankan kepimpinan ulama

BASIRON WAHAB | .

(Datuk Tuan Ibrahim Tuan bersalaman dengan barisan kepimpinan Pemuda PAS Pahang diiringi oleh ketua Pemuda PAS Pahang ustaz Nazri Ahmad dan Timbalannya Fadhli Ibrahim)

BANDAR JENGKA: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mahu pemuda bersikap seperti pemuda dalam mempertahankan dan memperkasakan  parti.
 
Berucap merasmi Himpunan Pemuda PAS Pahang (H3P) di Dataran Masjid Lama Rantau Printis dekat sini, beliau menegaskan Pemuda  adalah cermin kepada perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS kerana pemuda adalah tunggak kekuatan parti.
 
Menurutnya, pemuda PAS terdahulu sudah membuktikan semangat daya juang yang tinggi malah pemudalah yang mencadangkan Gagasan Kepimpinan Ulama beberapa dekad lalu setelah pemuda melihat PAS terumbang ambing sebagai sebuah parti politik semata-mata.
 
“Pemudalah yang mencadangkan Gagasan Kepimpinan Ulama bukanya Dewan Ulamak,” ujarnya.
 
Katanya pada waktu itu pemuda melihat PAS berada dalam keadaan lemah kerana ada antara pemimpinnya yang sanggup dijual beli dan menukar parti atau menyokong parti lawan (Umno) dan sebagainya lalu pemuda mencadangkan kepimpinan ulama.
 
Hasilnya, PAS mengalami perubahan besar apabila ulama menyusun sistem Ttarbiah dengan mengadakan program dalaman seperti usrah, tamrin, mukhayam dan sebagainya.
 
Semua program itu menjadikan ahli dan kepimpinan PAS bertambah mantap dan tiada lagi pemimpinnya yang berkiblat atau sanggup meninggalkan parti untuk bersama dengan parti lawan.
 
Justeru, beliau meminta pemuda mempertahankan kepimpinan ulama sejajar dengan perjuangan PAS sebagai sebuah parti Islam apatah lagi Gagasan Kepimpinan Ulama adalah hasil pemikiran Pemuda sendiri.
 
Beliau berkata, mutaakhir ini ada suara-suara yang menyuarakan kononya perjuangan utama parti adalah untuk menguasai Putrajaya.
 
Menurut Tuan Ibrahim, tidak dinafikan  menguasai Putrajaya itu adalah sebahagian daripada matlamat perjuangan PAS  namun mesej perjuangan PAS adalah Islam.
 
“Matlamat kita ke Putrajaya dengan Islam, berkuasa di Putrajaya bersama dengan Islam.
 
“PAS berjuang untuk meruntuhkan Jahiliyah dan membina Islam diatas runtuhan Jahiliyah itu,” tegas beliau.
 
Dalam ucapan sama Tuan Ibrahim mengingatkan pemuda tentang cabaran media baharu yang begitu berkesan memecahbelahkan perpaduan ahli dan pemimpin parti- parti Islam di seluruh dunia.
 
Katanya, pemuda perlu berwaspada dengan cabaran bentuk baharu ini supaya Islam yang di perjuangkan  tidak mampu di musnahkan oleh media propaganda lawan.
 
H3P kali ini dihadiri lebih 500 peserta termasuk Muslimat (Nisa)  dengan pelbagai program diatur oleh penganjur, seperti program santai di Nadi Kota, kuliah, qiamulail, derma darah, pertandingan pidato, pertandingan motosikal lambat dan pertunjukan permainan ular.
 
Tuan Ibrahim mencadangkan H3P ini dijadi acara tahunan pemuda PAS Pahang yang dimulai dengan perhimpinan di kawasan-kawasan terlebih dahulu.
 
Perhimpunan H3P ini turut dihadiri oleh Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat dan timbalannya Mohd Khalil Hadi. – HARAKAHDAILY 10/3/2015

Share on Myspace