Air: Azmin pertikai Pusat minta Selangor serah tanah

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mempertikaikan tindakan Kerajaan Pusat yang turut meminta kerajaan negeri menyerahkan tanah sebagai syarat baru perjanjian air negeri itu.

Pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Azmin berkata pada awalnya kerajaan negeri sudah bersetuju untuk menyerahkan aset air milik syarikat konsesi bagi menaik taraf air di negeri Selangor.

"Semangat itulah kita setuju tandatangan perjanjian. Tetapi malangnya, Kerajaan Pusat datang kepada kita beritahu bukan setakat aset yang diserahkan tetapi tanah juga perlu diserahkan.

"Kita ada 26,000 km paip air yang dimiliki syarikat konsesi. Sekarang Kerajaan Persekutuan bukan setakat paip, tanah yang dilalui pun nak diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak turut mempersoalkan tindakan Kerajaan Persekutuan seolah-olah mahu merampas kedaulatan Kerajaan Selangor.

"Mengapa dua tiga bulan ini Kerajaan Pusat datang balik dan pinda perjanjian yang telah ditandatangani. Pada asalnya kerajaan negeri sudah bersetuju bahawa mekanisma pembayaran setiap sen yang diterima oleh pengguna sudah ada jaminan," katanya.

Katanya, tindakan Kerajaan Pusat itu sengaja mahu melengah-lengahkan perkara yang telah dipersetujui.

"Apakah jaminan Kerajaan Pusat kepada kerajaan Selangor bahawa satu sistem perkhidmatan air yang mampu menjamin kesejahteraan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam soalan tambahan kepada Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Sebelum ini, Azmin mengumumkan Selangor telah membatalkan perjanjian penstrukturan air dengan Kerajaan Persekutuan selepas Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) meminta penangguhan buat kali ketiga.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana Kerajaan Persekutuan melanggar terma perjanjian pada September tahun lalu. - HARAKAHDAILY 10/3/2015

Share on Myspace