SPR puas hati penamaan calon PRK Chempaka lancar

MOHD NOR YAHYA & FAUD NURHADI | .

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) melahirkan rasa puas hati terhadap perjalanan proses penamaan calon PRK Dun Chempaka yang diadakan di Dewan Bitara Maktab Rendah Sains Mara Pengkalan Chepa hari ini.

Pegawai Pengurus Pilihanraya Ibrahim Bakri Mat Deris berkata seramai 404 petugas dilantik bagi mengendalikan perjalanan pilihan raya kecil (PRK) tersebut.

Katanya, Dun Chempaka terdapat 10 pusat mengundi dengan lebih 22,000 pengundi yang berdaftar.

"Alhamdulillah suasana aman dan terkawal," kata beliau ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon tersebut.

PRK Chempaka diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Febuari lalu akibat kanser prostat.

Pilihan raya tersebut menyaksikan calon PAS, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood ditentang empat calon Bebas.

Ibrahim juga berkata, semua pengundi hendaklah keluar mengundi pada 22 Mac ini bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

Beliau juga berharap semua pihak yang terbabit dengan pilihan raya tersebut dapat mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Pilihanraya 1954 dan 1981.

"Insya Allah petang ini akan diadakan satu mesyuarat di antara kesemua calon atau wakil untuk mendedahkan perkara-perkara yang boleh dan dilarang semasa kempen," katanya. - HARAKAHDAILY 10/3/2015

Share on Myspace