Indeks saham M'sia terburuk jika tak dedah skandal 1MDB

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) 2015 akan kekal sebagai pasaran saham paling teruk di rantau Asia Pasifik jika kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak serius menyelesaikan skandal 1MDB.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, 1MDB bakal mengulangi apa yang berlaku terhadap saham Bumiputera bernilai RM52 bilion dan skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) bernilai RM13.5 bilion.

Katanya, kejatuhuan nilai di bursa Asia Pasifik tidak mengejutkan berikutan pengukuhan nilai dolar Amerika dan pengurangan kadar pengangguran Amerika, memungkinkan kenaikan kadar faedah oleh Federal Reserve Amerika dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Bagaimanapun Malaysia akan menanggung akibat yang tak setara kerana lemahnya pasaran modal dan saham, walaupun negara mencatat pertumbuhan ekonomi di antara 5.7 peratus dan 6 peratus tahun lalu,” katanya dipetik Roketkini.

KLCI Malaysia pada 2014 jatuh 5.7 peratus, kejatuhan paling besar di bursa Asia Pasifik, sedangkan Thailand yang mencatat pertumbuhan ekonomi 1 hingga 2 peratus pada 2014 berjaya meningkatkan indeks pasaran saham kepada 15.3 peratus, manakala Filipina menjadi contoh terbaik di rantau ini dengan peningkatan 22 peratus pada 2014.

Kata Guan Eng, prospek masa depan KCLI adalah negatif kerana banyak persoalan timbul tentang skandal 1MDB yang menambah kesangsian bukan sahaja terhadap ketelusan dan kemampuan pasaran modal negara, juga berhubung penarafan kredit (credit rating) Malaysia terjejas

Tegasnya, amat penting bagi 1MDB dan Kementerian Kewangan mendedahkan secara terbuka tentang skandal tersebut supaya semua orang tahu kos sebenar jika apa yang paling ditakuti benar-benar berlaku.

Share on Myspace