Botak kepala tanda solidariti kepada Anwar

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Sebagai tanda simbolik melahirkan protes tindakan kerajaan terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim  beberapa orang Ahli Parlimen tanpa keberatan membotakkan kepala mereka.

Antara yang terlibat membotakkan kepala adalah Ahli Parlimen Pasir Puteh (PAS), Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad, Ahli Parlimen Kota Kinabalu (DAP),  Jimmy Wong Sze Phin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubok (KeADILan) Lee Khai Loon.

Protes tersebut diadakan kira-kira jam 9.15 pagi di hadapan pintu utama Parlimen.

Masing-masing memegang kad yang tertera lukisan Anwar dan perkataan bertulis 'Free Anwar White House Petition- we need you to show your support.'

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin yang turut menyertai protes berkenaan  berkata ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat berkumpul di hadapan Parlimen sebagai tanda sokongan terhadap usaha-usaha membebaskan Anwar.

Beliau juga kesal apabila pihak penjara enggan membenarkan Anwar hadir ke Parlimen sedangkan Anwar telah membuat rayuan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid  Yusuf Rawa meminta ruang diberikan kepada Anwar untuk hadir sepanjang sesi Parlimen berlangsung kerana tiada halangan daripada segi undang-undang untuk Anwar melaksanakan tugasnya sebagai Ahli Parlimen.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul yang turut berbuat demikian sempat mengumpul rambutnya yang telah dicukur dan akan menyimpan rambutnya sebagai bukti.

"Tindakan kami membotakkan kepala untuk memberitahu dunia bahawa ketua pembangkang perlu bebas dan juga perlu dibenarkan terlibat dalam perbahasan di Parlimen," katanya yang juga Ketua Whip PKR.

Bagi Jimmy pula tindakannya membotakkan kepala bukan sahaja simbolik untuk pembebasan Anwar tetapi juga tuntutan membersihkan Sabah daripada pendatang asing.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad melaungkan 'Bebas Anwar' serta diikuti Ahli-Ahli Parlimen lain dengan penuh semangat dengan penuh semangat sambil turut melaungkan 'Reformasi'. – HARAKAHDAILY 10/3/2015

Share on Myspace