Calon Presiden PAS: Inilah pendirian Tuan Ibrahim

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

PENCALONAN saya sebagai calon alternatif kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) oleh PAS Kota Bharu merupakan satu kejutan.

Seperti yang saya katakan kepada para wartawan yang bertanyakan hal ini hari ini: “Kalau Datuk Husam berkata 10 kali beliau pun tidak padan lagi dibandingkan dengan TGHH, saya yang bertinggian lima kaki dua inci pun mungkin ketinggalan lebih 5.2 kali di belakang TGHH dari segi kepimpinan.”

Pencalonan PAS Kota Bharu membukti kesuburan demokrasi dalam PAS, meskipun sering kali parti yang dipimpin TGHH diserang sebaliknya.

Dalam sejarah kepimpinan PAS, jawatan Presiden tidak pernah dipertandingkan khususnya di era kepimpinan ulamak. Saya melihat alangkah manisnya jika kita yang mendukung kepimpinan ulamak, seperti yang dinyatakan Datuk Wan Rahim, untuk terus mengekalkan budaya tersebut.

PAS mencapai zaman paling gemilangnya di bawah kepimpinan TGHH. Di peringkat antarabangsa pula, Kesatuan Ulamak Sedunia mengangkat beliau sebagai orang nombor dua. Setakat ini tiada siapa yang dapat dipadankan secara dekat dengan kepimpinan dan juga ketokohan TGHH di dalam PAS.

Dalam PAS, jawatan bukanlah sesuatu menjadi rebutan sebagaimana parti lain. Pertandingan berlaku hanyalah di atas sifat 'fastabiqul khairat'( berlomba melakukan kebaikan).

Atas pencalonan dari PAS Kawasan Kota Bharu, saya mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan yang diberi.

Namun, saya tidak dapat menerima pencalonan tersebut kerana saya akan terus mendukung TGHH sebagai Presiden PAS dan membantu beliau.

"Biarlah orang lain kata tak setuju dengan ayah kita, tapi jangan pula anak-anak kata begitu.” - HARAKAHDAILY 10/3/2015

Naib Presiden PAS
10 Mac 2015

Share on Myspace