Tiada keperluan turun harga barang kawalan ketika ini

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Hassan Malek menjelaskan tidak ada keperluan untuk kerajaan menurunkan harga barangan kawalan ketika ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak menurunkan harga barangan kawalan terlebih dahulu seiring dengan penurunan harga minyak dunia.

"Kenapa barang-barang kawalan oleh kerajaan seperti minyak, gula, tepung tidak diturunkan pada waktu harga minyak dunia jatuh," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Ini kerana, katanya para peniaga tidak boleh sewenang-wenangnya menurunkan harga tanpa kebenaran daripada kerajaan.

"Kalau gula yang dihasilkan di dalam negara dan tidak babitkan harga minyak dunia, mengapa ianya tidak diturunkan," soalnya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Bagaimanapun, Hassan memberitahu syarikat-syarikat pengeluar besar memainkan peranan untuk menurunkan harga.

"Sebab itu kita jumpa dengan syarikat-syarikat besar dahulu, dia boleh pengaruhi harga barang. Jika bersetuju turunkan harga bermakna harga boleh diturunkan," katanya. - HARAKAHDAILY 11/3/2015

Share on Myspace