Rumah kapten bola sepak Pahang ditembak

BERNAMA | .

KUANTAN: Lima das tembakan dilepaskan ke arah rumah kapten pasukan bola sepak Pahang, Mohd Razman Roslan, di Lorong Kubang Buaya 35 di sini tengah malam tadi, mengakibatkan pecah cermin belakang kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire miliknya yang diletakkan di hadapan rumah.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Mohd Zakaria Ahmad, dalam kejadian pada 12.30 tengah malam itu, kapten skuad Tok Gajah berusia 31 tahun itu dilaporkan sedang berehat bersama anggota keluarganya sebelum dikejutkan dengan bunyi tembakan yang dilepaskan secara rambang.

Beliau berkata sejurus selepas mendengar bunyi tembakan, Razman bergegas keluar rumah dan mendapati cermin kenderaan miliknya itu pecah akibat terkena tembakan.

"Bagaimanapun tiada anggota keluarganya yang tercedera dalam kejadian tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata Razman kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan gerakan bagi mengesan pihak yang terlibat dalam kejadian itu telahpun dijalankan.

Katanya motif kejadian juga masih disiasat dan masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian berhubung kejadian itu. - Bernama

Share on Myspace