#KitaLawan: Bendahari Pemuda PAS pula ditahan polis

HAZAYANI ZAKARIA | .

 

KUALA LUMPUR: Bendahari Pemuda PAS Malaysia, Fakhrul Razi Mokhtar ditahan polis kerana menyertai perhimpunan #KitaLawan, Sabtu lalu.

Beliau yang juga Sekretariat #KitaLawan ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi jam dua petang tadi berhubung perhimpunan yang menuntut Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan. 

Menurut peguammnya, Noorazmir Zakaria, Fakhrul Razi ditahan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman dan akan dibawa ke lokap Jinjang petang ini juga. 

Fakhrul Razi disoal siasat oleh pegawai penyiasat (IO) ASP Sabri dan peguam-peguamnya berhujah di hadapan IO agar melepaskan Fakhrul Razi. 

"Beliau asalnya boleh menerima hujahan kami, tetapi masih perlu mendapat arahan pihak atasan. Sebab itulah kami terpaksa menunggu lama. 

"Esok kami akan berhujah di hadapan majistret untuk melepaskan Fakhrul Razi esok juga kerana kami berpandangan tak ada keperluan untuk menahan lebih lanjut beliau kerana kita boleh membawa beliau pada bila-bila masa mengikut kesesuaian dan kehendak pihak polis," kata Noorazmir. 

Fakhrul Razi merupakan orang kelima ditahan selepas pemimpin PKR yang lain antaranya Nik Nazmi Nik Ahmad, Rafizi Ramli dan Fariz Musa. 

Sementara itu, Pemuda PAS Malaysia akan berhimpun di hadapan lokap Jinjang malam ini sebagai tanda solidariti untuk Fakhrul Razi. - HARAKAHDAILY 11/3/2015

Share on Myspace