Audit 1MDB untuk beri 'status halal'?

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar melahirkan rasa sangsi terhadap langkah kerajaan untuk mengaudit kewangan 1MDB.

Katanya, langkah itu dibimbangi hanya untuk memberi 'status halal' kepada kewangan 1MDB bagi meredakan persoalan yang ditimbulkan rakyat hari ini.

"Kita hanya mainkan isu untuk redakan keadaan. Saya takut Ketua Audit diarah memberi 'cop halal' kepada 1MDB selepas ianya diaudit nanti akhirnya mengisytiharkan tidak ada penyalahgunaan dalam kewangan syarikat itu. Semuanya beres dan tidak ada apa-apa yang berlaku," katanya.

Ini kerana katanya, pengurusan kewangan Hari Belia 2013 lalu juga diaudit tetapi sehingga kini laporan itu tidak dibentangkan di parlimen.

"Kenapa audit dibuat tetapi tidak boleh dibentang di parlimen?" soalnya ketika membahaskan ucapan Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Mahfuz turut mempersoalkan apa kepentingan 1MDB kepada Umno sehingga Ketua Bahagian Umno di panggil menghadiri taklimat mengenai 1MDB pada 8 Mac lalu.

"Saya melontarkan persoalan ini, kamu panggil ketua bahagian untuk menjelaskan 1MDB. Apa istimewanya isu ini dijelaskan.

"Bekas Naib Ketua Umn Bahagian Batu Kawan yang buat report polis mengaitkan PM dengan 1MDB. Umno bising dan marah. Nak minta siasatan sahaja. Kenapa bising? Apa kepentingan Umno dalam isu ini?" tambahnya.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang bangun mencelah turut mempersoalkan langkah pengauditan itu sedangkan hari ini kerajaan dikatakan telah meluluskan RM900 juta lagi dana untuk disuntik ke dalam 1MDB.

"Apa guna audit sedangkan terus menerus dana disuntik ke dalam akaun itu," soal Rafizi.

Masalah Kewangan 1MDB semakin parah dan telah dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri sehingga kerajaan memutuskan agar pengauditan dibuat oleh Ketua Audit Negara. - HARAKAHDAILY 11/3/2015

Share on Myspace