Bertudung tapi seluar pendek, Pemuda PAS dapat penjelasan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Johor telah mengadakan pertemuan dengan Pegawai Pendidikan Daerah Kulaijaya, Ishak Mahbob bagi mendapatkan penjelasan terus berhubung isu pelajar bertudung yang terpaksa memotong seluar panjangnya hingga ke paras peha bagi membolehkan beliau mengikuti satu acara sukan.

"Setelah mengadakan perbincangan, Pemuda PAS berpendirian bahawa KOAM perlu membuat penambahbaikan terhadap aturan pemakaian dalam aktiviti sukan di negara ini," kata ketuanya, Mohd Faizul Mohd Salleh dalam satu kenyataan.

Katanya, pihak Kementerian Pendidikan juga harus menyediakan garis panduan yang jelas berhubung tatacara pengendalian sukan di peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi yang mesra semua penganut agama.

Tamahnya, Pemuda PAS percaya bahawa semua pengamal agama di negara ini bebas mengamalkan tuntutan agama yang diyakininya tanpa sebarang bentuk diskriminasi.

Katanya lagi, sebagai sebuah negara demokratik, sudah sampai ketikanya Malaysia menggariskan satu dasar jelas dalam acara sukan yang sesuai untuk semua masyarakat samada muslim mahupun bukan muslim.

"Akhirnya, Pemuda PAS berharap agar insiden-insiden seperti ini tidak lagi berulang dan peraturan dan tatacara pemakaian sukan mengambil kira semangat hormat-menghormati antara agama dan bersesuaian dengan budaya dan masyarakat Malaysia yang majmuk," katanya. - HARAKAHDAILY 11/3/2015

Share on Myspace