Arul Kandasamy diundang jadi panel forum awam 1MDB

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: DAP mengundang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kandasamy untuk menjadi salah seorang panelis forum awam berkait skandal RM42 bilion hutang syarikat itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, forum tersebut dicadangkan sebagai respons terhadap kenyataan Arul sebelum ini yang mahu bekerjasama dalam memajukan 1MDB.

“Arul kata mahu bekerjasama. Ia satu usaha yang baik. Ini adalah peluang kepadanya untuk laksanakan apa yang dikatakannya ketika mengalu-alukan ‘penelitian awam’.

“(Jika benar) beliau tidak ada apa-apa yang mahu disembunyikan, ini peluang beliau. Dalam forum itu, Arul akan diberi sebanyak mana masa yang dia mahu, untuk jelaskan apa sebenarnya yang berlaku dalam pengurusan 1MDB,” katanya dipetik Roketkini.

Katanya, forum '1MDB: Berakhirnya Sebuah Kejatuhan' akan diadakan di Crystal Crown Hotel, Petaling Jaya, itu akan dihadiri Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dan beliau sendiri.

Menurutnya, ia dianjurkan khusus untuk membincangkan skandal dan konspirasi terbesar syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

Setiausaha Publisiti DAP itu menambah, forum yang dijadualkan 15 Mac itu nanti akan memberikan ruang besar kepada Arul.

Selain Arul, Tony juga secara terbuka mengajak bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Sharol Halimi untuk turut serta dalam forum tersebut.

Share on Myspace