Polis tak perlu menahan lanjut Bendahari Pemuda PAS - Juham

HARAKAHDAILY | FOTO WAN ZAHARI | .

KUALA LUMPUR: Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Juham) Pemuda PAS Malaysia menyelar proses penahanan Bendahari Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar hari ini di bawah Akta Perhimpunan Aman yang dilihat dilakukan secara tidak wajar dan profesional oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya bersama dengan Peguam Ariff Azami Hussein dan Azizul Shariman telah hadir bersama Ustaz Mohd Fakhrurazi Mokhtar ke Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada jam 12.30 tengah hari tadi untuk memberi keterangan tentang perhimpunan tersebut," ujar Pengarah Juham, Noorazmir Zakaria dalam satu kenyataan.

Namun, katanya Mohd Fakhrulrazi telah ditahan di Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman.

Justeru, ujar beliau Juham mempersoalkan penahanan tersebut, di mana tindakan Mohd Fakhrulrazi hadir sendiri ke Balai polis Dang Wangi untuk memberi keterangan berkaitan ‘Perhimpunan Kita Lawan’ jelas menunjukkan tahap kerjasama serta komitmen beliau kepada pihak PDRM dalam membantu siasatan.

Oleh itu, tegas beliau sewajarnya pihak PDRM tidak perlu kepada menahan lanjut Mohd Fakhrulrazi di dalam siasatan tersebut.

"Tindakan PDRM ini dilihat tidak lebih sekadar kepada memberi tekanan kepada beliau," katanya lagi.

Justeru itu, kata beliau Juham menggesa agar Mohd Fakhrulrazi dilepaskan segera dari tahanan, di mana Juham yakin beliau tetap akan memberi sepenuh kerjasama kepada pihak PDRM tanpa memerlukan sebarang tahanan secara langsung kepada beliau dibuat.

"Juham akan mengambil langkah lebih tegas dalam perkara ini, di mana pasukan peguam Juham akan mewakili Ustaz Mohd Fakhulrazi dalam proses reman sekiranya dipohon pihak PDRM dalam tempoh 24 jam ini," kata beliau.

Malahan, katanya pasukan Peguam Juham juga telah bersiap siaga bagi mewakili beliau sekiranya pendakwaan ke atas beliau di mahkamah dilakukan kelak. - HARAKAHDAILY 11/3/2015

Share on Myspace