Dr Haron Din mampu kukuhkan PAS - Pemuda

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan pelantikan Datuk Dr Haron Din sebagai Al-Mursyidul Am PAS yang baharu.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, pelantikan itu pada hakikatnya selaras dengan kehendak Fasal 8 (6) Perlembagaan PAS.

"Sebagai seorang tokoh ilmuan yang dihormati kawan dan lawan, pelantikan beliau dilihat sebagai satu inisiatif untuk menyatukan saf anggota dan pimpinan PAS," ujarnya kepada Harakahdaily.

Selain itu, katanya Dr Haron Din juga dilihat mampu untuk memandu PAS dalam meneruskan agenda tarbiyah, dakwah dan siyasah (politik) di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Mudah-mudahan dengan pelantikan ini juga PAS akan terus kukuh dan bersatu-padu dalam memenuhi aspirasi rakyat Malaysia yang mahu melihat PAS menjadi parti masa depan yang mampu merubah Malaysia ke arah tatakelola yang lebih baik," katanya lagi.

Pelantikan Dr Haron Din sebagai Mursyidul Am PAS bagi menggantikan Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diputuskan dalam mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS pada 8 Mac lalu.

Mesyuarat juga melantik pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Datuk Ahmad Yakob sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS. - HARAKAHDAILY 12/3/2015

Share on Myspace