Kenyataan interim MH370 berintegriti - Pakar

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Kenyataan interim dan maklumat faktual mengenai penyiasatan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 adalah bertaraf antarabangsa dan berintegriti, kata bekas Ketua Juruterbang MAS Kapten Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain.
    
Beliau berkata laporan yang dikeluarkan oleh Malaysian ICAO Annex 13 Safety Investigation Team for MH370 pada Ahad lepas telah dibuat dengan teliti dan telus.
    
Ia membutirkan rekod persiapan bagi penerbangan itu, komunikasi antara kokpit dengan kawalan lalu lintas udara, laluan penerbangan berdasarkan data satelit, kru dan kargo penerbangan malang berkenaan.
    
"Dengan penglibatan tujuh negara di bawah Pertubuhan Penyiasatan Kemalangan dan Insiden Udara melibatkan Malaysia, China, Australia, Perancis, Singapura, Indonesia dan Amerika Syarikat, laporan itu adalah bagus, cara kerja yang teliti serta telus," katanya kepada Bernama.
    
Nik Ahmad Huzlan berkata ia disokong dengan penglibatan pihak Boeing selaku pembuat pesawat Boeing 777-200ER, didaftarkan 9M-MRO itu menguatkan lagi katelusan laporan yang dikeluarkan oleh pasukan penyiasatan keselamatan berkenaan.
    
"Penyiasatan yang dibuat amat teratur berdasarkan perundangan antarabangsa, dari segi struktur laporan pula ia amat teliti iaitu melibatkan temu bual lebih 120 orang dari pelbagai peringkat termasuk Jabatan Penerbangan Awam sendiri sehinggalah ke penerima konsain," katanya.
    
Beliau berkata maklumat faktual laporan tersebut adalah mengenai perkembangan siasatan pesawat itu sehingga 7 Mac lalu dan ia berdasarkan fakta dikumpul sepanjang siasatan boleh dipercayai serta tidak memperlihatkan aspek lain seperti muslihat mahupun rekaan.
    
"Memang ada yang mempertikaikan dari segi bukti fizikal atau walau secebis serpihan sekalipun takkan tidak jumpa?, Apa yang boleh saya katakan ialah kita perlu bersabar kerana siasatan dan misi pencarian belum berakhir, perkara ini belum selesai.
    
"Semua orang ingin tahu, di mana, apa dan bagaimana, berdasarkan siasatan buat masa ini laporan itu yang diperoleh, maka tidak berapa tepat mengatakan pesawat itu tidak dijumpai, istilah yang tepat ialah masih belum dijumpai," kata Nik Ahmad Huzlan.
    
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 kru, hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac tahun lepas.
    
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari sama.
    
Sementara itu Selamat Omar, 60, bapa kepada penumpang MH370, Mohd Khairul Amri berkata beliau telah menerima dengan reda kejadian itu sejak laporan awal yang mengatakan pesawat itu berakhir di Lautan Hindi.
    
"Pakcik tak nafikan usaha pihak kerajaan, pakcik berterima kasih atas semua usaha yang pakcik kira amat wajar telah dilakukan," katanya.  - BERNAMA

Share on Myspace