Penduduk Chempaka masih terbayang wajah Tok Guru

MOHD NOR YAHYA | .

PENGKALAN CHEPA: “Kehilangan Tok Guru amat terasa. Saya cukup sedih dan masih terbayang-bayang wajah Tok Guru yang sering berkunjung di kampung ini.

“Saya berharap calon PAS yang menggantikan arwah mengambil pendekatan serupa dengan Tok Guru. Harap-harap Ustaz Fathan datang acap kali menziarahi penduduk di sini,” kata Esah Ibrahim, 62 dari Kampung Rumput Masin Pulau Gajah dekat sini.

Beliau mengakui tidak pernah ketinggalan mengundi semenjak Tok Guru menjadi calon di kawasan tersebut.

Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertanding di parlimen Kelantan Hilir (Pengkalan Chepa) pada pilihan raya kecil 1967 berikutan kematian Ahmad Prai.

Dan bermula pada pilihan raya umum 1986 Tok Guru bertanding dan menang di Dun Semut Api (Chempaka) sehingga PRU 2013.

Tok Guru meninggal dunia akibat konser prostat pada 12 Febuaru lalu di rumahnya di Pulau Melaka. Sebelum itu mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia hampir sebulan.

Esah berharap kebolehan calon PAS mengajar ilmu agama dapat dimanfaatkan untuk masyarakat di Dun Chempaka.

“Ustaz Fathan berkebolehan menyebar ilmu agama kepada anak mukim di sini di samping menziarahi mereka.

“Kalau Tok Guru sibuk dengan tugas Menteri Besar dan menjaga negeri pun acap datang ke sini, calon PAS kali ni mungkin mempunyai lebih banyak masa bersama rakyat,” katanya.

Bekas Penghulu Mukim Pa’Amat, Yahya Hassan berkata, kematian Tok Guru amat dirasai kerana tiada tokoh yang menyerupai keperibadiannya.

“Bagaimanapun saya amat bersyukur kerana pimpinan PAS memilih calon yang sedikit sebanyak mempunyai aura Tok Guru,” katanya.

Beliau mengenali Tok Guru sejak 1967 ketika berlaku pilihan raya kecil parlimen Kelantan Hilir (Pengkalan Chepa) di mana ketika itu Tok Guru sebagai calon.

Imam Tua Mukim Tebing Tinggi, Nik Abdullah Raja Ahmad,71, menganggap pemilihan Ustaz Fathan dapat mengubat jiwa penduduk yang sudah sebati dengan Tok Guru. - HARAKAHDAILY 12/3/2015

Share on Myspace