PRK Chempaka: PAS pastikan pengundi keluar mengundi

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS akan memastikan para pengundi di Dun Chempaka mengambil serius untuk keluar mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) 22 Mac ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr ohd Hatta Ramli berkata, walaupun Umno tidak meletakkan calon mereka di dalam pilihan raya ini, PAS harus mengambil berat empat lagi saingan mereka daripada calon Bebas.

"Kita tidak mahu bersikap lalai sehingga pengundi malas untuk keluar mengundi atau pengundi luar enggan untuk balik mengundi," katanya kepada Harakahdaily ketika ditemui di Parlimen.

Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai memberitahu jentera PAS sudah bergerak sebaik sahaja selepas proses penamaan calon berjalan.

Sementara itu, Pengarah Jentera Operasi PRK Dun Chempaka, Datuk Takiyuddin Hassan berkata jentera pilihan raya berjalan lancar dan mendapat komitmen yang baik di kalangan sayap parti iaitu ulamak, pemuda dan muslimat.

"Lepas sahaja penamaan kita sudah gerakan sepenuhnya jentera kita. Malah esok Jumaat kita adakan gerak gempur daripada pemimpin PAS Pusat," katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat dijangka akan diadakan di Kota Bharu, Jumaat ini.

Takiyuddin juga menegaskan jentera pilihan raya PAS turut mendapat kerjasama erat daripada rakan Pakatan Rakyat, PKR.

Beliau optimis PAS akan kekal di kerusi penyandangnya Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat walaupun berlaku pertandingan lima penjuru.

"Kita jangka menang di Chempaka tetapi mungkin majoriti akan berkurangan kerana faktor tidak ada persaingan sengit daripada Umno," katanya kepada Harakahdaily.

Calon PAS, Ustaz Ahmad Fathan [email protected], 42, ditentang empat calon Bebas pada PRK itu nanti. - HARAKAHDAILY 12/3/2015

Share on Myspace