Bincang kewangan 1MDB, usul PAS ditolak

| .

KUALA LUMPUR: Usul untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar ditolak Dewan Rakyat hari ini.

Mahfuz dalam notis usulnya bertarikh 10 Mac meminta dewan ditangguhkan bagi membincangkan masalah kewangan 1MDB yang merupakan syarikat strategik milik penuh kerajaan yang dikaitkan dengan salah laku dan pecah amanah.

Bagi Mahfuz yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat, isu ini melibatkan kepentingan ramai kerana segala dana, aset dan hutang yang ditanggung oleh 1MDB mempunyai kesan langsung kepada kerajaan dan seluruh rakyat.

"Perkara ini perlu disegerakan kerana ia adalah lanjutan daripada arahan Perdana Menteri kepada Ketua Audit Negara agar audit dibuat terhadap akaun 1MDB mengambil kira saranan Timbalan Perdana Menteri agar laporan audit forensik dibuat.

"Demi memastikan ketelusan, keberanian dan kebebasan dalam penyiasatan maka adalah menjadi kewajiban agar Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan segera," jelas Mahfuz ketika memcakan usul tersebut.

Bagaimanapun Timbalan Yang diPertua Datuk Ismail Mohamed Said menolak usul tersebut dengan alasan ia tidak perlu disegerakan dan perkara ini sedang di dalam proses pengauditan. - HARAKAHDAILY 12/3/2015

Share on Myspace