Dr Haron Din, sinambungan legasi yang hebat

| .

IPOH: PAS Perak merakam ucapan tahniah atas perlantikan Datuk Dr Haron Din sebagai Mursyidul Am PAS menggantikan Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pesuruhjaya, Razman Zakaria berkata, kepakaran serta ilmunya yang tinggi perlu digunakan sebaik mungkin bagi mengemudi dan memimpin bahtera perjuangan parti Islam itu.

Menurutnya, PAS Perak turut meletakkan harapan tinggi kepada Dr Haron dalam mengetuai Majlis Syura Ulamak yang menjadi pelindung serta penunjuk arah perjuangan parti itu.

"Kepakaran serta ilmunya harus dikongsi bersama dalam mengemudi Majlis Syura Ulamak yang turut dianggotai oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Saya melihat kesinambungan legasi yang sangat hebat ini mampu membawa PAS ke arah mendapat keredhaan Allah seterusnya memacu perjuangan ini dengan baik," katanya kepada Harakahdaily.

Razman menjelaskan, gandingan Dr Haron bersama kepimpinan Tuan Guru Hadi merupakan satu kekuatan yang mampu membawa wadah perjuangan PAS dengan lebih baik.

Ini kata beliau bagi menzahirkan kebenaran perjuangan parti itu sebagai mata rantai perjuangan Rasulullah dan sebuah parti politik yang bakal menerajui pemerintahan negara ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss dalam respons ringkas berkata, perlantikan Dr Haron Din sebagai Mursyidul Am PAS serta Datuk Ahmad Yaacob sebagai timbalannya merupakan satu keputusan yang sangat tepat.

Ini kata beliau, kedua-dua tokoh tersebut mempunyai kelebihan, kemampuan, keunikan serta kehebatan tersendiri dan diyakini berupaya menjalankan amanah yang diberikan itu sebaik mungkin.

"Mudah-mudahan dengan kepimpinan kedua-dua tokoh ini, Majlis Syura Ulamak PAS akan terus diperkasa serta dihormati dan disegani oleh semua dalam meneruskan bahtera perjuangan ini bagi mencapai keredhaan Allah," kata Penolong Setiausaha Agung PAS itu. - HARAKAHDAILY 12/3/2015

Share on Myspace