Dewan Negeri Selangor tanpa Ketua Pembangkang

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-13 bakal berlangsung tanpa Ketua Pembangkang daripada Barisan Nasional (BN).

Speaker DNS, Hannah Yeoh berkata, perkara itu disahkan BN Selangor sendiri melalui sepucuk surat yang dihantar kepada pejabat beliau, baru-baru ini.

“Pihak saya menghantar surat meminta satu nama untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang DNS. BN Selangor membalas surat itu dengan menyatakan mereka tidak berhasrat untuk menamakan Ketua Pembangkang pada masa ini,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata, BN Selangor tidak menyatakan sebarang alasan berhubung penolakan perlantikan jawatan itu.

“Mungkin juga disebabkan mereka enggan kerana Ketua Pembangkang akan secara automatik dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

“Ini pertama kali dalam sejarah DNS tidak mempunyai Ketua Pembangkang. Dulu, ketika DAP mempunyai dua orang sahaja Adun pun tetap ada Ketua Pembangkang iaitu Datuk Theng Chang Khim,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan Datuk Shamsudin Lias di dalam dewan dikekalkan disebabkan beliau adalah Adun pembangkang paling kanan walaupun BN Selangor tidak melantik Ketua Pembangkang.

Share on Myspace