Kata tak guna duit rakyat, tapi sah RM950 juta untuk 1MDB

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan II mengesahkan terdapat suntikan dana baru sebanyak RM950 juta kepada syarikat 1MDB.

Datuk Seri Husni Hanadzlah ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata dana baru itu sebagai 'standby credit' kepada 1MDB.

"Ini bermakna menteri mengakui desas-desus sebelum ini yang mengatakan ada dana baru sebagaimana saya kemukakan semalam," kata Rafizi dalam sidang media di lobi parlimen.

Ini bermakna jelas Rafizi kerajaan telah meluluskan dana baru sekaligus 1MDB boleh menggunakan dana itu bila-bila masa sahaja.

"Ia mengesahkan kenyataan saya semalam pada masa yang sama kerajaan beri jaminan tidak akan ada wang daripada rakyat," jelas Rafizi.

Katanya, pengakuan Menteri Kewangan itu sangat signifikan kerana ini adalah rekod kepada "bail out' 1MDB.

"Ini kerana lain-lain bantuan kerajaan adalah dalam bentuk kontrak, maknanya ada perjanjian pinjaman. Dan inilah 'bail out' yang pertama hampir RM1 bilion secara tunai kepada 1MDB," tambahnya.

Bagi Rafizi tindakan ini bertentangan dengan kenyataan keputusan sebelum ini kononya 1MDB tidak akan diselamatkan oleh kerajaan.

Katanya Menteri Kewangan juga tidak menafikan langsung kenyataannya bahawa RM300 juta telah diambil oleh 1MDB dari jumlah RM950 juta sebagaimana dimaklumkan dalam pertemuan dengan Ketua Bahagian Umno tiga minggu lalu. – HARAKAHDAILY 12/3/2015

Share on Myspace