Polis digesa siasat kekayaan 'luar biasa' keluarga Najib

| .

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia hari ini membuat laporan polis meminta polis menyiasat kekayaan luar biasa keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti didedahkan akhbar New York Times baru-baru ini.

Laporan New York Times itu mendedahkan anak tiri Najib, Riza Aziz dan rakan karibnya Jho Low yang juga mempunyai hubungan rapat dengan Najib membeli hartanah mewah di Amerika Syarikat dengan nilai AS$81.55 juta atau RM290.48 juta.

Ketua Penerangan, Mohd Nasaei Ismail berkata, wujud keraguan terhadap punca kewangan keluarga Najib walaupun Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa kekayaan luar biasa itu kerana Najib lama terlibat dalam kerajaan dan bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak juga meninggalkan harta keluarga yang banyak.

Ini kerana empat adik beradik Najib membuat penafian bahawa bapa mereka Tun Abdul Razak meninggalkan harta yang banyak.

"Oleh sebab wujudnya keraguan terhadap punca kewangan tersebut, kami melaporkan kepada polis supaya diadakan siasatan terhadap Perdana Menteri dan keluarganya berkaitan dengan kekaayan luar biasa yang disabitkan keluarganya," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Turut bersama beliau ialah Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiyat, Setiausaha, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dan Pengarah Pilihan Raya Sany Hamzan. - HARAKAHDAILY 12/3/2015

Share on Myspace