GST seperti kutu kepala menghisap darah

AHMAD AMZAD HASHIM | .

CUKAI GST ini diibaratkan sejenis cukai 'kerik' (mencuri/mengambil) wang rakyat secara halus - dalam keadaan kita tidak sedar – 6 peratus.

Dalam Cukai SST yang digunapakai sekarang, cuma perkhidmatan dan barangan yang tersenarai sahaja dikenakan cukai SST.

Kebanyakannya adalah produk dan perkhidmatan yang dibelanja oleh orang kaya dan mereka yang “banyak duit”. Misalnya mereka yang gemar makan di restoran mewah, menginap di hotel, mengunjungi pusat hiburan, kaki arak dan penagih rokok.

GST ini terbalik. Semua barang dan perkhidmatan yang kita berbelanja akan dikenakan GST. Kecuali yang ada dalam senarai pengecualian.

Macam kutu kepala. Jika seekor kutu yang menyedut darah kita tidak berasa apa-apa. Akan tetapi apabila di sana sini di atas kepala kena sedut oleh banyak kutu, maka pucat dan berpenyakitlah tuan punya badan.

Negara Lain Perkenal GST Harga Barang Naik, Malaysia Sebaliknya?

Baca baik-baik apa yang disebut oleh Datuk Kamariah Hussain, Pegawai Kanan Kementerian Kewangan Malaysia.

Tidakkah beliau memberitahu dalam beberapa tahun selepas GST dimulakan telah berlaku kenaikan harga barangan di negara-negara luar apabila mereka memulakan GST?

Apakah jaminan Malaysia lebih hebat daripada negara-negara luar yang lebih maju dan bagus urus tadbirnya yang tidak dapat mengelak daripada melalui pengalaman naik harga ini? Sehingga BN dengan angkuh berbelanja besar untuk membiaya berbagai iklan dan lakonan yang berbohong kepada rakyat bahawa di Malaysia, perkenal GST, barang turun harga.

Dengan urus tadbir yang lemah, kadar rasuah yg tinggi, pengaliran wang haram antara yang tertinggi di dunia, pembaziran dan pemborosan yang tiada hadnya, seperti skandal 1MDB bernilai RM43 Billion atau projek MRT juga RM42 Billion.

Apa jaminan Malaysia boleh buat 'magik' mengatasi negara maju lain yg mengalami kenaikan harga barangan selama 'beberapa tahun' dengan pengenalan GST?

Seolah-Olah Melalui GST, Barangan Mewah Dan Maksiat Disubsidi Rakyat Biasa

Dalam iklan yang disiarkan dalam pelbagai media, mereka kata GST 6 peratus dan akan menggantikan SST yang telah dilaksana sekarang 16 peratus. Selepas GST dimulakan, SST mereka mansuhkan.

Dalam GST, semua perkhidmatan dan barangan akan kena cukai kecuali yang masuk senarai pengecualian. SST hanya dikenakan cukai kepada barang dan perkhidmatan tertentu yang disenaraikan sahaja yang kebanyakannya bersifat mewah seperti restoran mewah, hotel, pusat hiburan, pusat perjudian atau barang tidak digalakkan seperti arak dan rokok.

Di bawah SST, selain yang disenaraikan, semua tidak kena cukai. Tidakkah ini menjadikan barangan dan perkhidmatan yang jadi kegunaan orang kaya-kaya lebih murah. Mahu berhibur lebih murah? Arak dan pusat perjudian lebih murah?

Bagaimana kerajaan menampung kekurangan hasil daripada cukai terhadap 'barangan orang kaya' ini?
Dengan kenakan cukai menyeluruh yang habis rata semua barang dan perkhidmatan kena cukai ( kecuali yang disenaraikan).

Yang sebahagian besarnya adalah keperluan pengguna miskin, sederhana dan kaya. Tidakkah seolah-olah orang miskin dan sederhana pula yang jadinya seperti memberi subsidi untuk penurunan harga barangan orang kaya? – HARAKAHDAILY 12/3/2015

Penulis ialah Presiden Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI)

Share on Myspace