Mapim kutuk Mesir gantung anggota Ikhwan Muslimin

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk sekeras-kerasnya pelaksanaan hukum mati ke atas seorang anggota Ikhwan Muslimin Mesir, Mahmoud Ramadan. Beliau telah digantung pada jam 7.00 pagi, 7 Mac lalu di Kaherah oleh rejim Mesir yang didukung oleh tentera.

Hukuman gantung itu dilaksanakan walaupun surat khas dari Suruhanjaya Kesatuan Afrika bertarikh 26 Februari 2015 dihantar kepada Presiden Al-Sisi supaya tidak melaksanakan hukuman itu. Dengan yang demikian Kerajaan Mesir mencabar autoriti Kesatuan Afrika dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Ini adalah perlaksanaan hukuman mati pertama sejak kudeta Jun 2013 oleh rejim tentera di bawah Al-Sisi.

Kami bertegas bahawa ini adalah perlaksanaan hukuman mati yang perlu ditentang dengan keras oleh masyarakat dunia. Mesir telah mengeluarkan hukuman kolektif kepada ratusan tahanan dalam suatu perbicaraan massa yang dikutuk oleh masyarakat dunia kerana tidak memenuhi standard antarabangsa.

Ketua Hak Asasi PBB pada masa itu, Navi Pillay, menyifatkan perbicaraan itu 'sangat jijik dan memperkosa keadilan yang sangat buruk'.

Kami amat kesal sementara pihak Ikhwan berusaha mendapat khidmat peguam antarabangsa supaya menghalang kerajaan Mesir melaksanakan hukuman mati itu, masyarakat dunia tidak cukup membantu.

Pada April 2014 Ikhwan menghantar kertas legal kepada Suruhanjaya Afrika mengenai Hak Manusia dan Rakyat untuk menggesa Suruhanjaya Afrika supaya masuk campur. Kes Mahmoud adalah salah satu kes yang disenaraikan dalam aduan berkaitan.

Walaupun Suruhanjaya Afrika menerima aduan tersebut dan menulis kepada Presiden Al-Sisi mengenai perbicaraan yang tidak adil itu serta mengarahkan langkah interim kepada Al-Sisi bagi menuntut supaya hukuman mati secara kolektif itu ditahan serta merta, namun hukuman itu tetap dilaksanakan.

Permohonan Ikhwan menyatakan bahawa perbicaraan yang dijalankan itu adalah "penipuan, yang dilaksanakan dalam hanya beberapa jam, di mana tidak ada bukti dibentangkan kepada mereka yang dituduh, peguam mereka mendiamkan diri dan hukuman bersalah dijatuhkan secara kolektif kepada semua yang didakwa. Tidak ada peraturan judisial dijalankan sama sekali".

Jelas, kerajaan Mesir mengenepikan arahan Suruhanjaya Afrika untuk menahan hukuman itu walaupun ada dokumen rayuan untuk tahanan yang berkenaan diketengahkan.

Mesir kini tidak mempedulikan perbicaraan yang adil untuk mereka yang dijatuh hukuman mati.

Mesir sedang menjadikan undang-undang antarabangsa sebagai suatu bahan jenaka. Tidak ada negara yang menjatuhkan hukuman secara kolektif ke atas ratusan banduan secara serentak dalam satu sidang perbicaraan. Kaedah dan peraturan perbicaraan yang dijalankan tidak sama sekali menepati standard antarabangsa.

Kami menyatakan hukuman ke atas Mahmoud bukan hukuman mati tetapi adalah suatu pembunuhan.

Kami mendesak masyarakat antarabangsa bertindak segera supaya Mesir tidak meneruskan kezaliman mereka menghukum mati ratusan tahanan melalui perbicaraan palsu. - HARAKAHDAILY 12/3/2015

Share on Myspace