Ustaz Fathan balik rumah tanya anak solat – isteri

SALMAH MAT HUSAIN|FOTO RIZAL TAHIR | .

PENGKALAN CHEPA: Setiap kali balik dari kerja perkara pertama yang ditanya Ustaz Ahmad Fathan Mahmood, adakah anak-anak sudah solat.

Isterinya Azizah Hanim Mohd Daud, 37 berkata situasi itu sudah menjadi lumrah bagi anak-anak yang memahami perilaku ayah mereka.

“Sekiranya ustaz pulang ke rumah ada di antara kami yang masih belum bersolat, dia akan mengeluarkan suara yang agak tinggi sikit.

“Bukan sahaja kepada anak-anak kepada saya sendiri dia tegur kalau belum solat lagi,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baung dekat sini.

Ustaz Fathan membawa cabaran PAS bagi mempertahankan Dun Chempaka pada pilihan raya kecil (PRK) 22 Mac ini. Beliau ditentang empat calon bebas.

PRK itu diadakan berikutan kematian Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat barah prostat pada 12 Febuari lalu. Hari ini genap sebulan jenazah Tok Guru disemadikan di Pulau Melaka.

Azizah berkata, solat begitu ditekan kepada keluarga kerana ibadat yang sempurna menzahirkan sifat ketaqwaan seseorang Muslim.

“Solat seumpama tiang rumah, kalau runtuhnya tiang maka runtuhlah rumah tersebut kerana tiada tempat untuk berpaut,” katanya yang bertugas sebagai pegawai di sebuah agensi kerajaan pusat di Bachok.

Menurutnya juga tabiat seperti itu sudah lama menjadi amalan arwah Tok Guru yang mengutamakan solat kalangan anggota keluarga.

Katanya, ada persamaan dengan apa yang diamalkan suaminya terhadap keluarganya.

Hasil perkongsian hidup dengan Ustaz Fathan mereka dikurniakan tujuh cahayamata iaitu dua lelaki dan lima perempuan.

Azizah juga memberitahu beliau terkejut apabila suaminya dicalon mewakili PAS bagi mempertahankan Dun Chempaka pada PRK tersebut.

“Bagaimanapun saya sedar tanggungjawab itu cukup besar kerana ia membabitkan amanah rakyat.

“Apabila suami memberitahu saya berhubung perkara itu langsung saya tidak menganggap sebagai suatu berita baik kerana kalau tidak dapat menjalankan amanah ia berdosa nanti,” tambahnya. - HARAKAHDAILY 13/3/2015

Share on Myspace