Murtad: PAS Pahang sokong cadangan Muip

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Pahang menyokong cadangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) membuat semakan semula undang-undang syariah berkaitan murtad sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar Sinar Harian, semalam.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mutakhir ini pelbagai isu berkaitan murtad berlaku sehingga boleh menimbulkan polemik antara keluarga saudara baru dan pihak Jabatan Agama khususnya.

"Polemik ini dilihat berpunca dari pelbagai perkara yang melibatkan aspek perundangan dan boleh mencetuskan polemik antara agama," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, antara elemen penambahbaikan yang boleh dibuat ialah perisytiharan rasmi kepada pihak keluarga bilamana seseorang telah memeluk Islam.

"Dengan perisytiharan ini, pelbagai isu perlu diselesaikan seperti hak penjagaan anak, pembahagian harta, implikasi hubungan suami isteri, dan lain-lain yang melibatkan agama dapat dijelaskan," katanya lagi.

Di samping itu, ata beliau PAS Pahang menyarankan agar sebuah pusat bimbingan dan transit bagi saudara baru dapat diwujudkan di Pahang bagi memastikan saudara baru dapat dibimbing amalan dan penghayatan agama dan kerjaya setelah memeluk Islam.

Beliau berkata, dana zakat dan Baitulmal dapat dimanfaatkan bagi tujuan itu.

Sekadar maklumat, katanya di Pantai Timur hanya sebuah pusat bimbingan saudara baru yang beroperasi secara profesional di bawah Perkim, iaitu di Pengkalan Chepa, Kelantan.

"Keadaan ini tentulah tidak mencukupi," ujarnya yang juga Naib Presiden PAS.

Di samping itu, tambah beliau Pusat Bimbingan dan Kaunseling Khas bagi saudara baru juga akan dapat membantu mengatasi gejala murtad di kalangan saudara baru.

Beliau menambah, pelbagai tekanan, desakan dan kadangkala ada ugutan yang diterima oleh saudara baru memerlukan tindakan segera agar gejala murtad di kalangan saudara baru dapat diatasi serta kerjaya masa depannya dapat diwujudkan. - HARAKAHDAILY 13/3/2015

 

Share on Myspace