Semak semula fatwa GST, saya sedia dipanggil JK Fatwa

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

Semasa menyampaikan ucapan Menjunjung Kasih Titah YDPA semalam di Dewan Rakyat, saya telah mendesak agar fatwa keharusan GST yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-106, yang bersidang pada 21-22 Oktober lalu disemak semula.

Dalam ucapan tersebut, saya telah menyatakan beberapa hujah bahawa GST bercanggah dengan prinsip percukaian Islam. Boleh teliti ucapan saya di sini: https://www.youtube.com/watch?v=kK2MCBXd96I.

Secara ringkasnya, ia haram dikutip kerana tidak menepati 3 syarat pengharusan cukai dalam Islam iaitu:

I) Kerajaan benar-benar terdesak memerlukan cukai untuk menampung keperluan negara.

Apabila disemak belanjawan negara ternyata realitinya kerajaan masih mempunyai sumber selain cukai GST yang boleh dioptimumkan bagi menambah hasil pendapatan negara tanpa perlu mengenakan cukai GST.

II) Keperluan mendesak itu berlaku bukan kerana ketirisan dan pemborosan dalam perbelanjaan.

Realitinya ialah kerajaan masih berboros dalam berbelanja sehingga berlaku belanjawan defisit 18 tahun berturut-turut dan masih berlaku ketirisan dalam pengurusan perbelanjaan negara sehingga dianggarkan antara RM23 bilion hingga RM40 bilion setahun sebagaimana semakan berdasarkan Laporan Audit Negara.

III) Hanya dikenakan kepada golongan berkemampuan yang mempunyai pendapatan melebihi keperluan.

Realitinya, GST dikenakan berasaskan perbelanjaan dan perkhidmatan bukannya berasaskan pendapatan menyebabkan individu rakyat yang tidak mempunyai lebihan pendapatan boleh guna juga terpaksa membayarnya.

Contoh yang paling mudah ialah setiap rakyat yang mengeluarkan wang menggunakan kad bank daripada ATM berbeza (MEPS) akan dikenakan caj 6 sen GST selain RM1 caj perkhidmatan MEPS. Sedangkan orang yang mengeluarkan duit barangkali seorang miskin yang tidak mencukupi pendapatannya untuk keperluan seharian.

Sebelum ini juga, saya telah menulis beberapa artikel bagi menjelaskan konsep percukaian dalam Islam dan percanggahan GST dengan Islam.

Boleh rujuk di sini: http://drtakiri.blogspot.com/2014/04/gst-bercanggah-dengan-prinsip.html dan di sini: http://drtakiri.blogspot.com/2014/05/gst-adalah-cerminan-pertembungan-2.html.

Saya sendiri dengan rendah hati bersedia untuk hadir jika dipanggil oleh Jawatankuasa Fatwa bagi mewakili PAS untuk menyatakan pandangan syarak berkenaan masalah ini. - HARAKAHDAILY 13/3/2015

Ahli Parlimen Kuala Nerus

13 Mac 2015 / 22 Jamadilawal 1436H

Share on Myspace