Pengundi Dun Chempaka wajib keluar mengundi

SALMAH MAT HUSAIN|FOTO RIZAL TAHIR | .

 

PENGKALAN CHEPA: Bekas pensyarah kanan menegaskan menjadi kewajiban setiap pemilih di Dun Chempaka keluar mengundi pada 22 Mac ini bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

Bekas Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) Senator Datuk Dr Johari Mat berkata memberi sokongan kepada perjuangan parti Islam adalah tuntutan agama.

“Lebih-lebih lagi calon yang dipilih ialah yang terbaik dalam kalangan pemimpin untuk menjaga kepentingan masyarakat seluruhnya.

“Sebagai pewaris perjuangan Rasulullah saw, apa lagi sebagai sayap perjuangan yang penting dalam siasah Islam. Golongan ulama wajib menjadi benteng kepada perjuangan Islam,” katanya di sini.

Beliau juga berkata segala lubang-lubang yang tiris perlu ditampal dengan supaya musuh tidak mampu melangkah masuk.

Oleh itu pengundi di Dun Chempaka perlu keluar beramai-ramai bagi menunaikan tanggungjawab mereka tanpa mengira penyokong Pakatan Rakyat atau parti lain.

Pada pilihan raya umum lepas Tok Guru Nik Abdul Aziz menang dengan majoriti 6,500 undi mengatasi calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak.

Ustaz Ahmad Fathan Mahmood dipilih mewakili PAS mempertahankan Dun tersebut yang dicabar empat calon Bebas.

Anggota Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Negeri, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi berkata, menjadi kewajiban pengundi di Chempaka mempertahan benteng gerakan Islam di Dun terbabit.

Katanya, kesinambungan kepimpinan ulama di Dun tersebut akan dipertahankan ulama muda yang sudah dikenali masyarakat di Chempaka.

“Biarpun Umno tidak meletak calon, namun pengundi perlu keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka dan tidak boleh mengambil sikap mudah.

“Jangan pula tanpa kehadiran Umno ada pengundi tidak mahu keluar mengundi. Apa yang penting majoriti perlu ditambah sebagai tanda kita kasih kepada arwah Tok Guru,” ujarnya.

Baru-baru ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi PRK Chempaka menurun iaitu kepada 70 peratus berbanding 85.9 peratus pada pilihan raya umum lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan berkata, jangkaan itu kemungkinan berlaku kerana BN tidak bertanding. - HARAKAHDAILY 13/3/2015

Share on Myspace