Ustaz Fathan guna gaya kempen Tok Guru

MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

KOTA BHARU: Calon PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka Ustaz Ahmad Fathan Mahmood menggunakan pendekatan kempen menerang dan bukan menyerang.

Beliau berkata kaedah itu digunakan bekas Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ternyata berkesan bagi menambat hati penduduk di Chempaka.

“Ini cara dan gaya berkempen diamalkan Tok Guru terutama menekankan konsep penerangan bagi membolehkan pengundi dan anggota masyarakat faham,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah sulung di Medan Ilmu di sini hari ini.

Turut menyampaikan kuliah yang bermula jam 8.30 hinggga 10.30 pagi selebriti dakwah, Ustaz Haslin Bollywood dan Ketua Pemuda PAS Kota Bharu, Ustaz Azariza Mohd Alawi.

Ustaz Fathan juga berkata, pengundi Dun Chempaka hendaklah keluar beramai-ramai membuang undi pada 22 Mac ini.

Katanya, kesedaran keluar mengundi perlu ditekankan biar pun BN tidak bertanding pada pilihan raya tersebut.

“Begitu juga pengundi yang tinggal di luar Kelantan hendaklah pulang bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai tanda kasih sayang kepada arwah Tok Guru,” ujarnya.

Ustaz Fathan ditentang empat calon Bebas pada pilihan raya terbabit. - HARAKAHDAILY 13/3/2015

Share on Myspace