PRK Chempaka: MB rayu pengundi luar balik mengundi

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Seramai 1,882 pengundi Dun Chempaka yang bekerja di luar Kelantan diharap pulang menunaikan tanggungjawab mereka.

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata kepulangan pengundi terbabit penting bagi mempertahankan majoriti diraih arwah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada pilihan raya umum lepas.

“Lagi pun tarikh pilihan raya pada 22 Mac ini kebetulan hari Ahad dan hujung cuti sekolah penggal pertama bagi negeri-negeri di pantai barat.

“Di samping pulang untuk bertemu sanak saudara, mereka dapat menunaikan tanggungjawab mengundi,” katanya di sini hari ini.

PAS berusaha mempertahankan Dun Chempaka melalui Ustaz Ahmad Fathan Mahmood. Biar pun BN tidak meletak calon, namun empat calon bebas merebut peluang.

Ustaz Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, Ustaz Fathan seorang ulama muda yang boleh menjadi pengganti kepada arwah Tok Guru di Dun Chempaka.

“Calon diketengahkan PAS merupakan ulama muda mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar dalam bidang Syariah dan pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaya juga di bidang syariah.

“Pengundi hendaklah menzahirkan rasa tanggungjawab terhadap usaha memperjuangkan Islam. Walaupun tidak dicabar BN, namun kita perlu menunjukkan semangat sayangkan Islam dan kerajaan negeri,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau berharap semua pengundi tanpa mengira latar belakang politik, warna kulit dan agama memberi sokongan kepada Ustaz Fathan bagi meneruskan legasi ditinggalkan Tok Guru. - HARAKAHDAILY 13/3/2015

Share on Myspace