Mahathir sudah bersuara, Muhyiddin jangan diam diri

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS minta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak menghampakan rakyat.

"Muhyiddin perlu menyatakan bantahan terbuka kepada suntikan RM950 juta yang diluluskan kabinet kepada 1MDB jika beliau serius dengan saranan beliau untuk memastikan duit rakyat tidak digunakan untuk menyelamatkan 1MDB," kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Naib Presiden PAS itu berkata, TPM perlu menyuarakan bantahan jika beliau tidak bersetuju.

"Jika beliau berdiam, maka terbuktilah kenyataan beliau hanyalah retorik semata-mata," ujarnya dalam satu kenyataan.

Muhyiddin juga, kata beliau disarankan membuat deklarasi harta segera, dan sehubungan itu, mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk turut melakukan perkara yang sama bagi membersihkan namanya.

Menurutnya, inilah masa paling sesuai untuk melakukan demikian setelah Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka menyoal mengenai sumber kekayaan ahli keluarga Najib.

Kata beliau lagi, kemelut hutang 1MDB dan misteri kekayaan keluarga PM mesti dirungkai segera.

"PAS menasihatkan TPM untuk bertindak cepat, kerana misteri kekayaan keluarga PM, hutang 1MDB dan kejatuhan nilai ringgit, dijangka akan memberi impak ekonomi yang mendalam kepada kehidupan rakyat marhaen; lebih-lebih lagi dengan kehadiran GST dalam masa 17 hari lagi," ujarnya. - HARAKAHDAILY 14/3/2015

Share on Myspace