PT3 tergesa-gesa, mana laporan pencapaian pelajar

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan mendesak supaya analisis keseluruhan pencapaian sulung Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mesti segera dilaporkan di Dewan Rakyat dan kepada umum.

Ini, katanya untuk penilaian awam sebelum pihak kerajaan melancarkan secara rasmi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015-2025 yang dijangka akan diadakan pada hujung Mac ini.

Menurutnya, sejak keputusan sulung Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) diumumkan pada 22 Disember 2014, Kementerian Pendidikan masih gagal mengemukakan laporan keseluruhan pencapaian 453,413 orang pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut.

Pihak Kementerian Pendidikan juga, ujar beliau tidak membuat pengumuman rasmi dan tidak memaklumkan analisis pencapaian para pelajar seperti mana yang lazim dilakukan untuk Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) sebelum ini.

Walau bagaimanapun, kata Nasrudin Menteri Pendidikan Kedua telah mengakui terdapat pelbagai kelemahan dalam pelaksanaan PT3 tersebut.

Begitu juga, katanya maklum balas para guru, PIBG, ibu bapa dan para pelajar sendiri yang masih keliru dengan kaedah pentaksiran yang dilakukan.

"Kita akur bahawa PT3 sama sekali tidak boleh dibandingkan secara seimbang dengan orientasi PMR, namun pelaksanaannya pada tahun 2014 dilihat dijalankan secara tergesa-gesa setelah kerajaan membuat keputusan untuk memansuhkan PMR," ujarnya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, antara isu-isu yang ditimbulkan ialah tahap keberkesanan teknik soalan berteraskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi, tahap kefahaman panduan penskoran oleh guru-guru, integriti para guru dan persediaan masa pelajar untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan baru PT3. - HARAKAHDAILY 14/3/2015

 

Share on Myspace