GST: PAS Kedah cabar k'jaan negeri nyata pendirian

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Kedah menyokong penuh kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed bahawa pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan memberi kesan tidak baik terhadap rakyat Malaysia di mana rakyat tidak menyokong tindakan tersebut.

"PAS Kedah kekal dengan pendirian bahawa cadangan pelaksanaan GST mulai 1 April 2015 ini hendaklah dibatalkan atau sekurang-kurangnya ditangguhkan," ujar Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mahfuz Omar dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mencabar Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Datuk Paduka Mukhriz Mahathir supaya menyatakan pendirian rasmi kerajaan negeri terhadap pelaksanaan GST tersebut.

"Adakah Menteri Besar bersetuju atau membantah sikap yang diambil oleh Tun Dr Mahathir berhubung pelaksanaan GST?" soal beliau.

Katanya, jika Kerajaan Negeri Kedah berdiam diri, bermakna mereka bersetuju dengan GST dan menyanggah pendirian Mahathir.

Justeru, kata beliau Mukhriz hendaklah segera mengeluarkan kenyataan tegas bagi pihak kerajaan negeri berhubung isu GST supaya rakyat tidak terkeliru. - HARAKAHDAILY 14/3/2015

Share on Myspace