Walau didakwa bermasalah, ramai anak muda sertai PAS

FUAD NURHADI | .

PENGKALAN CHEPA: Ketika ada pihak mendakwa berlaku masalah dalaman PAS, sebaliknya parti itu terus mendapat sambutan apabila semakin ramai golongan muda menyertai parti terbabit.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata keahlian PAS sekarang mencecah 1.3 juta orang di seluruh negara.

“Dalam keadaan orang sibuk kata pada PAS macam-macam, sebaliknya terbaru kita telah meluluskan keahlian baru seramai 8,000 orang.

“Ini menjadikan keahlian PAS sudah mencecah seramai 1.3 juta orang,” katanya pada ceramah di Unit Peti Undi Chempaka di sini malam tadi.

Menurutnya paling ramai menyertai PAS sejak akhir-akhir ini golongan muda yang berpendidikan tinggi.

"Ini menunjukkan perjuangan kita ada kemajuan, makin hari bertambah ramai orang yang menyertai PAS.

"Walaupun kita dikepung dan disekat dengan pelbagai cara oleh Umno namun PAS juga mendapat tempat di hati orang bukan Islam," katanya.

Pilihan raya kecil (PRK) Dun Chempaka diadakan berikutan kematian mantan Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Febuari lepas akibat kanser prostat.

PAS diwakili Ustaz Ahmad Fathan Mahmood dan beliau ditentang empat calon bebas.

Ustaz Abdul Hadi juga berkata pada PRK kali ini orang Umno pun kena undi PAS kerana tiada calon mereka yang bertanding di Chempaka.

"Saya juga mengingatkan pengundi yang tinggal di luar kawasan perlu balik mengundi. Tugas ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia adalah amanah.

“Fadhilatnya sangat besar kepada kerajaan kita yang akan meneruskan perjuangan mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini.

"Rakyat Kelantan seharusnya berbangga kerana diberi rahmat berada di bawah kerajaan negeri yang melaksanakan syariat Islam," katanya.

Malam tadi ceramah juga diadakan di Cabang Tiga Sabak, Kampung Badang dan Taman Seri berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. - HARAKAHDAILY 14/3/2015

Share on Myspace