Pindaan tambah baik Kanun Jenayah Syariah - MB

ASLANI M | .

PENGKALAN CHEPA: “Kita sudah lama sabar kerana ada halangan perlembagaan dan surat amaran perdana menteri menyebabkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) II yang dilulus pada 1993 tidak dapat dilaksanakan.

“Samalah perumpamaan kita sudah lama membeli periuk elektrik, mesin membasuh namun tidak dapat digunakan kerana tiada elektrik.

“Jadi sekarang elektrik sudah ada, mesin basuh yang lama itu perlu dibaiki semula sebelum dapat digunakan.

“Samalah dengan EKJS II sudah dilulus pada 1993, sekarang sudah dapat lampu hijau daripada menteri, jadi kena tambah baik sikit sebelum dibawa untuk mendapat kelulusan di parlimen,” kata Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata sedikit pindaan terhadap enakmen tersebut dijangka dibawa pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 18 Mac ini.

Menurutnya surat amaran daripada perdana menteri perlu diambil kira kerana pengalaman Kelantan pernah berdepan dengan Mageran pada 1970-an.

“Jadi apabila menteri kata hendak sokong maka kita berusaha membawa semula ke parlimen untuk mendapat kelulusan.

“Hampir 22 tahun kita terpaksa bersabar. Seperti kata arwah Tok Guru, kita berhenti kereta di simpang lampu isyarat tetapi enjin tidak dimatikan, dan bila hijau kita jalanlah.

“Kalau kita tidak jalan orang di belakang pula akan merempuh kita,” katanya pada ceramah di Taman Seri, Dun Chempaka malam tadi.

Hadir sama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, anggota parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Hussin, Adun Kemahang, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman.

Selain itu anggota parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi dan calon PAS, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood.

Orang ramai memenuhi kawasan ceramah biar pun tidak jauh dari situ ceramah juga diadakan di Cabang Tiga Sabak.

Pada 28 Mac 2014 Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberitahu sekiranya kerajaan Kelantan bersedia melaksanakan hukum hudud, kerajaan Pusat turut bersedia bersama-sama.

“Terpulang kepada ahli-ahli Yang Berhormat untuk membawa usul persendirian bagi membentang Rang Undang-Undang daripada ahli yang bukan ahli kerajaan di Dewan Rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong. - HARAKAHDAILY 14/3/2015

Share on Myspace