Ulama lepasi halangan teraju Kelantan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Laungan Allahuakbar tiga kali oleh Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob melengkapi acara perasmian pelancaran sambutan Jubli Perak dasar Membangun Bersama Islam (MBI) hari ini.

Kemudian orang ramai yang hadir termasuk pegawai kanan kerajaan dan wakil-wakil rakyat turut melaungkan ungkapan sama.

Program itu mencatat sejarah apabila turut dihadiri hampir kesemua pegawai kanan diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat.

Ucapan Menteri Besar di majlis tersebut yang mengimbau pencapaian Kelantan selama 25 tahun dan perancangan 25 tahun ke hadapan kemudian dijadikan kapsul masa untuk disimpan di Muzium Negeri.

Kapsul itu yang diserah Ustaz Ahmad kepada Pengarah Muzium Negeri, Dr Nik Azlan Abdul Hadi hanya akan dibuka pada tahun 2040.

“Saya ingin meletak suatu sasaran dan wawasan jauh untuk tempoh 25 tahun akan datang supaya Kelantan lahir sebagai Negeri Tadahan Wahyu yang membangun pesat.

“Selain itu mempunyai wilayah ilmu di peringkat negeri dan zon di setiap jajahan bagi melahirkan rakyat madani yang mempunyai tahap pemahaman agama yang tinggi.

“Ketika itu keseluruhannya pemimpin dan rakyat dilimpahi keberkatan, kemakmuran serta kebajikan,” kata Menteri Besar pada pelancaran tersebut, di Dataran Stadium Sultan Muhamamd IV. (Foto atas daripada fb MB)

Turut hadir Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota Exco, Timbalan Mufti, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhamamd.

Pemimpin masyarakat Cina dan India juga hadir pada program berkenaan. Turut diadakan pameran pencapaian kerajaan negeri dan potret kenangan arwah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menerajui Kelantan.

Ustaz Ahmad berkata, kemakmuran di Kelantan terserlah melalui pembangunan ekonomi dan pelaburan, di samping kerancakan pembangunan infrastruktur.

“Pada jangka masa tersebut InsyaAllah kita ingin melihat satu peradaban tinggi rakyat Kelantan melalui tahap kebersihan membanggakan.

“Rakyat sihat, negeri sejahtera dan kebajikan terpelihara akan tercapai,” ujarnya.

Mohd Amar sebelum itu berkata, ketika peringkat awal Kelantan diterajui ulama pelbagai kritikan, halangan dan ancaman datang bertali arus.

Katanya, Kelantan disekat daripada mendapat pelaburan asing, bayaran geran keseimbangan dilewatkan, royalti petroleum dinafikan dan ugutan bagi melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II.

Namun kata beliau rakyat Kelantan berdiri teguh sehingga mampu bertahan sehingga sekarang. - HARAKAHDAILY 14/3/2015

Share on Myspace