GST: Ops Catut fasa kedua mula 2 April

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Operasi Antipencatutan atau Ops Catut akan dilaksanakan bermula 2 April ini bagi memantau dan mengesan peniaga yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan melampau selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan pada 1 April ini.
    
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Alias Ahmad berkata operasi besar-besaran ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
    
Katanya Ops Catut fasa kedua ini akan berterusan sehingga keadaan ekonomi negara dan harga barangan stabil.
    
"Sebelum ini, Ops Catut yang bermula 15 Jan hingga 11 Mac lalu hanya melibatkan pegawai kementerian sahaja. Kerajaan memandang serius dalam mencegah kenaikan harga barangan yang tidak munasabah selepas pelaksanaan CBP," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Hak-hak Pengguna Sedunia 2015 di sini, hari ini.
    
Terdahulu, Alias yang membaca teks ucapan Menteri berkenaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata sepanjang tempoh Ops Catut fasa pertama, sebanyak 451,794 premis telah diperiksa.
    
"Daripada jumlah itu, sebanyak 2,498 buah premis dikompaun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011, dengan nilai rampasan berjumlah RM426,857 dan nilai kompaun berjumlah RM279,166," katanya.
    
Mengenai sambutan hari ini, Alias berkata tema 'Hak Pengguna Untuk Pemakanan Sihat' dipilih untuk melahirkan pengguna yang bijak, berdaya upaya serta mampu membuat pilihan terbaik dalam mendapatkan makanan yang bersih, sihat dan selamat.
    
Katanya biarpun tahap kesedaran pengguna ialah 52.6 peratus, pengguna masih tidak menterjemahkan hak mereka dalam bentuk tindakan, dan kerajaan akan terus mempertingkatkan kesedaran memperkasakan hak pengguna.
    
Sementara itu, Alias turut menerima sijil pengiktirafan daripada wakil Malaysia Book of Records, Nurul Huda Zakaria bagi pihak dua kolej tempatan kerana berjaya menyediakan salad kerabu timun terpanjang (661 meter).
    
Sejumlah 22 chef dari Hamama Tul Ukhuwah Sdn Bhd dan Kolej Food Industri Management mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menghasilkan salad itu sejak 8.30 pagi ini. - BERNAMA

Share on Myspace