LIMA '15: 2 pesawat AU-TNI terhempas ketika latihan

BERNAMA | .

LANGKAWI: Dua pesawat Jupiter Aerobatic Team, Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (AU-TNI) terhempas ketika melakukan latihan aerobatik sempena LIMA '15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, Ahad.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Langkawi berkata nahas berlaku pukul 2.04 petang ketika sekumpulan enam pesawat jenis KT-1B itu melintasi ruang udara MIEC, sebelum dua daripadanya berlanggar di udara dan terbabas.

Kedua-dua pesawat kemudian dilihat terhempas di luar kawasan lapangan terbang, disusuli api dan kepulan asap.

Nasib kedua-dua juruterbang setakat ini masih belum diketahui.

Seorang saksi, Husin Ahmad, 25, berkata beliau ternampak juruterbang sempat menyelamatkan diri menggunakan payung terjun.

"Saya sedang makan, tiba-tiba ternampak kedua-dua pesawat itu berlanggar sesama sendiri di bahagian ekor menyebabkan ia berasap sebelum terhempas.

"Saya juga nampak seorang juruterbang sempat terjun menggunakan payung terjun," katanya.

Seorang lagi saksi Zairi Halim, 35, berkata dia sedang makan tengah hari sebelum anaknya berlari balik ke rumah dan memberitahu ada jet terhempas berdekatan kawasan rumah mereka.

Sementara itu, seorang lagi saksi berkata pesawat Jupiter milik Indonesia yang terhempas di Kedawang itu turut mengakibatkan sebuah rumah penduduk tempatan terbakar.

Kebakaran itu kemudiannya dipadamkan anggota bomba.

Pameran LIMA'15 yang dijadual berlangsung bermula 17 hingga 21 Mac ini akan menyaksikan lima pasukan, termasuk AU-TNI, membuat pertunjukan akrobatik. - Bernama

Share on Myspace