Malaysia ada platform suarakan hasrat umat Islam

NASRUDIN HASSAN | .

MEMBUKA tirai 2015, Malaysia telah mempunyai platform yang lebih kukuh untuk menyuarakan hasrat umat Islam di arena antarabangsa.

Ini adalah peluang yang terbaik untuk dimanfaatkan supaya imej negara umat Islam dapat ditonjolkan dengan lebih murni untuk mengikis prejudis masyarakat antarabangsa terhadap agenda Islamophobia dan ekstremisme.

Malaysia telah dipilih dengan mandat majoriti yang besar untuk menganggotai ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC). Tambahan lagi, kini giliran Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2015.

Saya juga difahamkan bahawa Menteri Luar Negeri telah mengadakan Asean Foreign Ministers’ Retreat di Kota Kinabalu, Januari lalu. Saya amat berharap agar agenda perbincangan tersebut dapat dipanjangkan di dewan yang mulia ini.

Bertepatan dengan peranan Malaysia hari ini, saya ingin menyeru supaya pihak kerajaan dapat menjayakan dua Resolusi PBB yang sangat berkaitan sepertimana yang telah diputuskan pada hujung Disember lalu.

Dua agenda penting tersebut adalah pengiktirafan Palestin untuk mendapatkan hak dalam ‘Rome Statute’ Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan isu di negara jiran iaitu pembelaan terhadap masyarakat minoriti Muslim Rohingya di Myanmar.

Sehubungan itu, saya menyeru seluruh rakyat dan pemimpin negara untuk bersolidariti dan memberi sokongan terbuka kepada Palestin untuk mengheret Israel ke muka pengadilan di International Criminal Court (ICC) di The Hague yang dijangka akan bermula 1 April 2015 ini.

Israel telah melakukan pembunuhan terhadap lebih 2,000 rakyat awam Palestin dalam peperangan yang berlangsung sekitar 50 hari tahun lalu.

Saya melihat Malaysia harus menonjolkan peranan yang aktif ketika keberadaannya dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ini peluang yang harus dioptimakan sementara tekanan terhadap umat Islam khususnya di Eropah semakin memuncak. Dalam hal tertentu, Malaysia juga harus berani menjelaskan pendiriannya terhadap sekutu kuat Israel iaitu Amerika Syarikat.

Benjamin Netanyahu telah mendakwa ‘wave of Islamization’ telah melanda Eropah Barat dan akan mengancam masyarakat Yahudi di benua tersebut. Ini akan meningkatkan sikap prejudis terhadap Islam dan umatnya khususnya di Eropah.

Apa yang membimbangkan, pihak-pihak tertentu telah mengambil kesempatan dan melancarkan tindakan reaksionari terhadap institusi Islam seperti masjid, kawasan umum, premis komersial dan residen orang Islam. - HARAKAHDAILY 16/3/2015

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Share on Myspace