1MDB: Rakyat bawah boleh reda dengan suapan BR1M?

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa pihak kerajaan jangan membiarkan satu lagi skandal yang melibatkan wang negara tidak dapat diselamatkan.

Kehilangan RM2.5 bilion dalam skandal BMF pada 1983 dan beberapa skandal kewangan yang lain telah melenyapkan tidak kurang dari RM300 bilion. Ini termasuk kes Perwaja Steel, Spekulasi London Tin, Empangan Bakun, PKFZ, kerugian Bank Negara berjumaah RM15 bilion dalam perdagangan pertukaran wang (forex).

Kini satu lagi penyiasatan terpaksa dilakukan untuk menjelaskan sama ada syarikat milik kerajaan sepenuhnya iaitu 1MDB yang dipersoalkan mengenai pengurusan kewangan melibatkan puluhan bilion ringgit lagi.

Mapim kesal nampaknya negara sehingga kini tidak lagi bebas dari isu pengurusan kewangan awam yang tidak telus dan menimbulkan kecurigaan dalam kalangan rakyat.

Soalnya apakah isu 1MDB dengan segala keupayaannya serta disokong sepenuhnya oleh kerajaan tidak dapat diuruskan dengan amanah dan professional sebagaimana seharusnya.

Mengenepikan apa yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak dengan soalan-soalan yang memang munasabah sebagai fitnah dan cuba menjatuhkan pemimpin negara akan menambahkan lagi kecurigaan rakyat.

Pengurusan dana berbilion ringgit melalui syarikat sebesar 1MDB yang diuruskelola secara langsung di bawah Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri sepatutnya cukup profesional dan telus. Mengikut prosedur yang sepatutnya dalam amalan perakaunan yang diperakui mengikut standard antarabangsa bukan suatu yang subjektif. Ia sepatutnya boleh dipertanggungjawabkan dengan telus mengikut prosedur pengauditan yang piawai dan objektif.

Kami hairan kenapa sindrom penafian masih menjadi ciri pihak yang bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat kedudukan yang sebenar.

Sesungguhnya jika satu isu itu diminta agar tidak dipolitikkan, maka kami berpendapat isu 1MDB ini yang dibangkit oleh pelbagai pihak bukan isu politik tetapi ia adalah isu pengurusan, integriti dan akauntabiliti.

PIhak kerajaan boleh melakukan justifikasinya sendiri dan media prokerajaan boleh berusaha mempertahankan kredibiliti kerajaan, namun ia pasti akan dibahaskan oleh rakyat selagi penjelasan tidak diberi dengan telus dan bertanggungjawab.

Apatah lagi apabila kenyataan antara pihak yang bertanggungjawab mengurus-kelolakan 1MDB saling bertentangan yang mengundang kekeliruan dan menambahkan kecurigaan.

Sangat didambakan oleh rakyat marhain yang berhadapan dengan pelbagai kerumitan untuk melanjutkan kehidupan yang asasi tiba-tiba mendapati khazanah awam disalahurus melibatkan berbilion ringgit. Tidak mungkin hanya dengan suapan BR1M rakyat bawahan boleh meredhakan kepincangan, apa lagi melibatkan wang awam.

Hanya kerana mereka mungkin tidak punya literasi ekonomi yang tinggi, namun tak mungkin boleh dinafikan bila seorang bernama Jho Low mendapat akses kepada lebih RM900 juta dalam tranksaksi 1MDB yang menjadi penuh tanda tanya.

Kami kesal bila terdapat usaha untuk membela salah laku dengan mengalihkan fokus rakyat kepada dakwaan percubaan untuk menjatuhkan pemimpin dan kerajaan. Jika mendedahkan kepincangan semuanya dikaitkan dengan konspirasi politik, maka negara ini tidak akan selamat dari gejala salah guna kuasa.

Mapim menggesa siasatan yang dikatakan sedang dimula oleh pihak Jabatan Audit dan Jawatankuasa Perakaunan Parlimen (PAC) terhadap 1MDB dapat segera diselesaikan untuk bertindak terhadap mereka yang terbukti menyalah guna dana 1MDB. - HARAKAHDAILY 16/3/2015

Penulis ialah Presiden Mapim.

Share on Myspace