#KitaLawan: Henti penahanan, manipulasi undang-undang

| .

KUALA LUMPUR: Ketua-ketua Pemuda Pakatan Rakyat menyeru Polis DiRaja Malaysia (PDRM) segera berhenti menahan mana-mana pihak berhubung perhimpunan #KitaLawan pada 7 Mac lalu.

Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat, Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua DAPSY, Teo Kok Seong dalam kenyataan bersama berpendirian, penangkapan dan penahanan wakil parti politik dan NGO yang lain sebagai suatu tindakan mencabul hak asasi rakyat dan melanggar Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kepada semua warganegara untuk berhimpun dengan aman.

Mereka antaranya Ketua AMK Malaysia, Nik Nazmi, Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong, Bendahari Pemuda PAS Malaysia, Fakhrulrazi Mokhtar, aktivis Adam Adli dan Farez Musa ditahan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

"Kami dengan tegas membantah penggunaan akta ini sebagai suatu bentuk manipulasi undang-undang demi menghalalkan kehendak tuan-tuan politik mereka.

"Kami juga mendesak agar semua tahanan-tahanan berkaitan perhimpunan #KitaLawan yang masih ditahan dilokap, segeralah dibebaskan.

"Kami dan rakan-rakan NGO yang lain adalah anak muda yang merdeka dan menghormati undang-undang di Malaysia, justeru tidak seharusnya kami diperlakukan seperti penjenayah," kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan tersebut lagi, Pemuda Pakatan Rakyat berpegang teguh pada prinsip untuk menegakkan keadilan dan membela nasib mereka yang tertindas dan tegar untuk terus memperjuangkannya.

"Kami tidak akan berhenti selagi Perdana Menteri tidak meletakkan jawatan berhubung skandal 1MDB dan tahanan politik Anwar Ibrahim dibebaskan.

"Justeru, kami ulangi gesaan agar pihak Polis khususnya Ketua Polis Negara Tan Sri Datuk Sri Khalid bin Abu Bakar untuk segera menghentikan pembulian dan pencabulan terhadap hak asasi kami dan rakan-rakan ketika ini, kerana kami semua adalah warga yang merdeka," kata mereka. - HARAKAHDAILY 16/3/2015

Share on Myspace