Rafizi dakwa pentadbiran Najib beli jet peribadi baru

RAFIZI RAMLI | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak yang dengan sewenang-wenangnya membeli sebuah jet peribadi (private jet) baru.


Katanya, menurut jawapan Parlimen yang diberikan Jabatan Perdana Menteri pada sidang November 2013, Kerajaan Malaysia sudah mempunyai sekurang-kurangnya 6 jet peribadi termasuklah sebuah Boeing Business Jet.

"Saya sertakan bersama satu surat perjanjian yang mengesahkan pembelian jet baru ini yang bertarikh 1 Disember 2014," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau mendakwa, perolehan jet peribadi baru untuk Perdana Menteri itu dianugerahkan secara rundingan terus kepada Jet Premier One (Malaysia) Sdn Bhd yang turut mengendalikan jet peribadi sedia ada iaitu ACJ319.

Menurutnya, penggunaan jet peribadi sedia ada iaitu ACJ319 melibatkan kos sebanyak RM28.8 juta setahun dalam bentuk sewaan dan RM5.5 juta setahun dalam bentuk kos penyenggaraan.

Katanya, pembelian sebuah lagi jet peribadi baru yang kini di bawah pendaftaran 9H-AWK dan telah siap dicat dengan logo 1Malaysia membuktikan bahawa pentadbiran Najib terus menerus bergelumang di dalam keborosan dan pembaziran, pada kala negara masih dikejutkan dengan skandal kewangan 1MDB.

Tambahnya, tindakan membeli sebuah lagi jet peribadi baru itu sudah tentu menimbulkan kemarahan rakyat pada kala rakyat terpaksa berdepan dengan pelaksanaan GST dalam tempoh 2 minggu dari sekarang.

"Saya mendesak supaya pembelian jet ini dibatalkan serta merta dan Datuk Seri Najib Tun Razak meminta maaf dengan rakyat kerana tindakan membeli jet peribadi baru ini membelakangkan kepentingan rakyat," ujarnya. - HARAKAHDAILY 16/3/2015

Share on Myspace