Tolak usul hak MP Permatang Pauh, Speaker langgar perlembagaan

| .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin menyifatkan tindakan Speaker Datuk Ronald Kiandee menolak usul berhubung hak Ahli Parlimen Permatang Pauh menghadiri sidang Parlimen sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Hanipa yang tidak berpuas hati usulnya bertarikh 12 Mac lalu ditolak di dalam kamar, bangun mempersoalkannya sebaik sahaja sesi soal jawab di Dewan Rakyat tamat jam 11.30 pagi tadi.

"Isu ini melibatkan perlembagaan. Kerusi Permatang Pauh belum kosong. Mengikut perlembagaan kerusi Permatang Pauh tidak dikosongkan.

"Saya rasa tidak adil, kita kena hormati ketinggian perlembagaan. Macam mana? Alasan apa lagi kalau kita tidak ikut perlembagaan,"soal Hanipa.

Hanipa terus bersuara dan berlaku pertikaman lidah antara beliau dengan Speaker.

"Ini perlembagaan, Speaker tidak boleh atasi perlembagaan. Ini pandangan perlembagaan,"tegas Hanipa yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Bagaimanapun, Ronald yang mempengerusikan sidang dewan menegaskan bahawa usul yang telah ditolak tidak boleh dibacakan.

"Sekarang usul Sepang telah ditolak dalam kamar. Itu soalnya. Peraturan mesyuarat kata macam itu, usul ditolak,"ulang Speaker.

Terdahulu, Hanipa menjelaskan usulnya adalah spesifik kerana merujuk kepada hak seorang Ahli Parlimen yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan di mana kerusi Permatang Pauh belum boleh dikosongkan mengikut perlembagaan kerana keputusan pengampunan beliau masih belum diputuskan maka beliau sewajarnya diberi hak perlembagaan untuk hadir ke dewan.

Usul itu, katanya adalah kepentingan bersama kerana ia melibatkan hak seorang Ahli Parlimen yang kerusinya masih belum dikosongkan menurut perlembagaan untuk hadir berbahas di dalam dewan bagi pihak kawasannya dan juga rakyat secara umumnya atas kapasiti beliau sebagai Ketua Pembangkang. - HARAKAHDAILY 16/3/2015

Share on Myspace