1MDB: Masalahnya bermula dari TIA lagi

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Masalah kewangan 1MDB tidak akan berlaku jika kerajaan mengambil iktibar dari kecelaruan Terengganu Investment Authority (TIA) yang kerugian beratus juta tanpa satu projek dimulakan, demikian tegas Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah.

Menurut Raja Bahrin, TIA dengan modal aset permulaan RM5 bilion telah mengalami masalah dari awal kerana perancangan yang lemah dan tidak cekap sehingga diambil alih oleh 1MDB kurang setahun selepas ditubuhkan.

"Apa yang dipersoalkan..., mengapa orang yang sama gagal di TIA menerajui semula 1MBD. Nampaknya kerajaan tidak mengambil iktibar atas kegagalan TIA," soalnya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, tiga individu yang sama menjadi penggerak utama TIA iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ahli perniagaan Jho Low dan Datuk Shahrul.

"Di sinilah permulaan tangan-tangan ghaib dan penglibatan Jho Low menyebabkan kecelaruan kedua bernama 1MDB. Inilah sebenarnya permulaan penggerak utama Jho Low dalam TIA dan seterusnya 1MDB," katanya.

Jelasnya, inilah yang sepatutnya menjadi pengajaran tetapi sudah menjadi trend mengulangi perbuatan yang sama di dalam 1MDB dengan kerugian lebih besar, RM42 bilion.

Menurut Raja Bahrin, TIA ditubuhkan atas idea Najib Tun Razak dan Kerajaan Terengganu dengan Datuk Shahrul sebagai CEO.

TIA ditubuhkan kerana mencontohi  Norway Sovereign Wealth Fund (Tabung Pelaburan Norway) yang merupakan contoh terbaik dunia dalam pelaburan wang minyak negara untuk generasi akan datang yang diperoleh daripada keuntungan tunai hasil minyak bukan daripada pinjaman bank.
Jelas Raja Bahrin, perbezaan TIA adalah daripada pendapatan masa depan, daripada minyak dan wang pinjaman.

"Tabung Warisan Minyak sejak 1975 semasa Menteri Besar Tan Sri Wan Moktar telah habis digunakan. Masalahnya, Terengganu sudah tidak lagi dapat royalti sejak 1999 tetapi hanya menerima wang ehsan yang tidak ada ketentuan atau ketetapan formula peratusan yang akan diterima.

"Anehnya di sebalik sandiwara ini semua, mereka buat-buat lupa akan tindakan BN sendiri yang telah membatalkan royalti kepada Terengganu apabila PAS memerintah Terengganu dan menggantikan dengan wang ehsan.

"Bagaimana wang ehsan boleh diambil kira pendapatan akan datang kerana ehsan tidak ada satu angka atau jumlah yang ditetapkan. Inilah sandiwara BN dalam justifikasi menubuhkan TIA," katanya.

Justeru katanya, kerajaan Terengganu lebih bijak membatalkan TIA apabila menyedari bayaran faedah pinjaman sahaja RM800 juta setahun tanpa projek dikenal pasti, TIA dibubarkan dan lahirlah 1MDB. – HARAKAHDAILY 16/3/2015

Share on Myspace