Dun Chempaka: Tentera dan pasangan mengundi Rabu ini

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Sejumlah 1,497 anggota tentera bersama pasangan mereka yang berdaftar sebagai pengundi awal bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka akan menunaikan tanggungjawab memilih calon pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu, Rabu ini.
    
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata mereka akan mengundi di Dewan Tan Sri Hamid Bidin, Kem Pengkalan Chepa, Kota Baharu, mulai 8 pagi hingga pukul 5 petang.
    
"Pada pengundian awal seperti sebelumnya dakwat pilihan raya akan digunakan bagi proses pengundian.
    
"Proses pengundian awal akan dijalankan mengikut kaedah pengundian biasa dengan dikendalikan oleh petugas SPR di pusat mengundi yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
    
Daftar pemilih yang digunakan untuk PRK kali ini adalah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2013 dan digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga Tahun 2014, yang telah dikemas kini sehingga 12 Feb 2015.
    
Daftar pemilih tersebut mengandungi 21,890 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 20,390 orang pengundi biasa; 1,497 orang pengundi awal dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.
    
Abdul Ghani berkata proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding pada PRK berkenaan.
    
"Pemerhati tempatan yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan dan ahli akademik yang dilantik oleh SPR juga dibenar menjadi pemerhati pada proses pengundian awal itu dengan kebenaran daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.
    
Beliau berkata kertas-kertas undi tidak akan dikira di Saluran atau Tempat Mengundi sebaliknya akan disimpan di tempat selamat seperti di dalam lokap polis dan hanya akan dikira pada hari pengundian biasa.
    
Pengiraan kertas undi akan dijalankan secara berkelompok di tempat-tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi disaksikan ejen calon masing-masing, katanya.
    
PRK DUN Chempaka pada 22 Mac ini menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat calon bebas.
    
PAS diwakili Ketua Urusan Ulama PAS DUN Chempaka Ahmad Fathan [email protected], 42, manakala empat calon bebas ialah bekas calon bebas PRK DUN Pengkalan Kubor Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48; bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood, 59; Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Fadzillah Hussin, 55; dan pesara Kementerian Kesihatan Aslah Mamat, 64. - BERNAMA

Share on Myspace