Sultan Kelantan harap usul persendirian disokong

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Sultan Muhammad V berharap kerajaan negeri membawa rang undang-undang persendirian ke Parlimen bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) II dapat dilaksanakan.

Baginda bertitah usul persendirian itu bagi meminda Akta 355 di bawah Peruntukan 76A (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Beta berharap ia dapat dilaksanakan setelah mendapat sokongan semua pihak,” titah baginda pada perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-13 hari ini.

Sebelum itu ketibaan baginda di Plaza Kota Darulnaim disambut Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Speaker Datuk Abdullah Ya’kub dan pembesar-pembesar negeri. (Foto atas oleh UKMB)

Baginda juga melakukan pemberiksaan pembarisan oleh anggota pasukan keselamatan.

Pada titah yang sama baginda turut merakam ucapan tahniah kepada kerajaan Kelantan di bawah Dasar Membangun Bersama Islam sehingga dianugerah taraf lima bintang.

Anugerah itu diberikan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Jabatan Perdana Menteri 2014.

“Beta merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri di atas kelangsungan mentadbir negeri ini di bawah Dasar Membangun Bersama Islam,” titah baginda.

Sebelum itu baginda merakamkan ucapan takziah di atas pemergian bekas Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Baginda yang turut melahirkan rasa dukacita dan turut menyifatkan pemergian Tuan Guru satu kehilangan besar serta sukar dicari ganti.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya serta mendapat keampunan dan tergolong dalam kalangan hambanya yang soleh,” titah baginda.

Sehubungan itu bacaan al-Fatihah dibacakan tuanku serta anggota dewan dan pegawai yang hadir. - HARAKAHDAILY 16/3/2015

Share on Myspace