Apa sebab polis perlu tahan Nurul Izzah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: DAP mengutuk sekeras-kerasnya salah guna kuasa oleh pihak polis dalam soal penahanan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; serta menggesa supaya beliau dilepaskan dengan serta merta.

"Ketika Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu disoal siasat oleh pihak polis, tidak pula menteri Umno itu ditahan reman semalaman oleh pihak polis," kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Malah, katanya pihak polis pula menyatakan bahawa Ismail seorang yang ‘sibuk’ dan tidak mempunyai masa untuk disiasat.

"Tetapi kini ketika Dewan Rakyat sedang bersidang, pihak polis bertindak menangkap Nurul Izzah, seorang Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, untuk disiasat di bawah Akta Hasutan ekoran apa yang diucapkannya di dalam Dewan?" ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, ujarnya tidak ada sebab untuk menahan Nurul Izzah kerana beliau bukannya seorang perompak atau penjenayah yang telah membunuh sesiapa.

"Beliau tidak akan melarikan diri. Apa sebab pihak polis perlu menahan Nurul Izzah semalaman?" tanya beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Tegasnya, DAP akan tetap setia bersolidariti dan menyokong Nurul Izzah, walau apa pun yang terjadi dan menggesa kerajaan pusat berhenti menjadikan pihak polis budak suruhan mereka untuk menahan, mengganggu dan memangsakan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. - HARAKAHDAILY 16/3/2015

Share on Myspace