Sabah: Jangan sampai pungutan suara keluar Malaysia

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ucapan Ahli Parlimen BN yang menghentam kerajaan pusat kerana tidak cakna dengan nasib rakyat Sabah mendapat sokongan ahli dewan termasuk Timbalan Speaker.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghafur Salleh dengan lantang meluahkan isi hati dan denyut nadi rakyat Sabah yang masih terpinggir daripada kemajuan dan pembangunan ekonomi.

Beliau ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat turut memberi amaran kepada kerajaan pusat bahawa parti itu akan hilang Sabah jika terus tidak mempedulikan nasib rakyat negeri itu.

Beliau turut meluahkan isi hati rakyat Sabah yang saban hari hidup dalam serba kekurangan di tambah pula situasi keselamatan yang tergugat kerana kes pencerobohan.

"Kita tidak mahu pungutan suara untuk Sabah keluar. Selama 52 tahun keselamatan tidak dijaga sebab itu mereka tidak puas hati.

"Kalau kita tidak jaga. Kita kalah. Habislah BN. Sabah dan Sarawak lari tidak sokong BN. Habislah kita," tegasnya.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Putatan Datuk Dr Marcus Majigoh bangun sambil mempersoalkan Abdul Gahfur yang berani menghentam kerajaan begitu lantang.

"Tidak takutkah YB?" soal Marcus.

"Sebenarnya bukan soal takut, tapi siasat dulu kenapa orang Sabah buat demikian. Kita tidak mahu pungutan suara untuk Sabah keluar.

"Saya percaya saya penyokong kuat BN," balas Ghafur.

Ahli Parlimen Kapar G. Manivannan bangun menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen Kalabakan kerana keberaniannya.

"Saya amat setuju, Kalabakan berani. Berani kerana benar," celah Kapar.

"Adakah ini ucapan Ketua Pembangkang?" celah Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin.

Abdul Ghafur yang merasakan masa perbahasannya sudah habis beliau memohon untuk menamatkan ucapannya namun ditegur oleh Timbalan Speaker Datuk Ismail Said.

"Saya belum puas dengar ucapan Kalabakan. Kalabakan ada masa sikit lagi," celah Timbalan Speaker.

"Boleh sambung lagi Kalabakan," celah Kapar.

Ahli Parlimen Kalabakan yang mengakhiri ucapannya sekali lagi menghentam kerajaan BN yang membuat pembangunan di kawasan terpilih sahaja.

"Buat rumah besar-besar di Kota Belud di tempat menteri. Ertinya kalau saya jadi menteri hanya di tempat saya sahaja yang ada," bidasnya yang diikuti pengakuan Timbalan Speaker bahawa di tempatnya juga tidak ada pembangunan seperti itu. – HARAKAHDAILY 17/3/2015

Share on Myspace