Sistem amaran tempatan dalam pengurusan bencana

NASRUDIN HASSAN | .

Terlebih dahulu saya mengambil contoh di beberapa buah negara membangun, fakta menunjukkan pelbagai bencana telah berlaku samada secara semulajadi ataupun akibat daripada kecuaian manusia.
Tragedi Kebocoran Gas Beracun di Bhopal, India (1984),
Tragedi Kebocoran Tenaga Nuklear di Chernobyl, Ukraine (1986),
Tragedi Tsunami di Selatan Asia (2004)
dan pelbagai lagi, adalah contoh bencana yang telah mengorbankan lebih 2 juta nyawa menurut rekod yang dilaporkan.

2. Akhir-akhir ini di Malaysia juga telah berlaku bencana banjir lumpur yang teruk. Sebagai contoh berlaku di kawasan Lembah Bertam, Cameron Highland, Pahang pada Oktober 2013 dan disusuli dengan tragedi banjir besar di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor dan Sabah pada penghujung tahun lalu.

3. Sejujurnya, kita sebagai rakyat Malaysia harus meneliti hikmah atas teguran Allah SWT terhadap kita semua.
مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ
Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Surah Al Hadid: 22)

لِّكَيْلَا تَأْسَوْا عَلَىٰ مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا آتَاكُمْ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (Surah Al Hadid: 23)

Tidak terlambat untuk saya sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negera khususnya di kawasan saya, Temerloh, Pahang. Sesungguhnya semangat kemanusiaan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia amat membanggakan dan kita berharap agar ia terus dipupuk dan dibaja bagi melahirkan perpaduan dan kehidupan yang lebih harmoni.

Dalam hal ini, saya ingin menyentuh mengenai sistem komunikasi amaran awal pra bencana. Ia penting sebagai salah satu persediaan menghadapi bencana dan maklumat yang diterima daripadanya mampu mengurangkan risiko atau meminimumkan mudharat yang lebih besar.

Sebagai contoh banjir besar di Temerloh tempoh hari. Tanda aras di Kuala Tahan telah dibaca pada 27/12/14 dan bacaannya melebehi paras 1971. Kedalaman biasa Sungai Pahang ialah 5 meter. Banjir baru - baru ini pada tahap minima 10 meter dan maxima 28 meter. Paras air di jalan Temerloh - Mentakab menyamai paras banjir 1988. Malangnya pihak Pengurusan Bencana negeri dan daerah tidak bertindak cepat dan berkesan walaupun amaran awal itu telah diketahui.

Saya melihat keberkesanan sistem ini bergantung kepada kebolehupayaan menganalisis, kecekapan aspek teknikal dan kefahaman yang menyeluruh terhadap risiko. Maklumat yang saya baca, terdapat beberapa buah negara yang telah membuktikan kecekapan penggunaan sistem komunikasi amaran awal tersebut.

Contohnya,
Pertama, Sistem Amaran Taufan Tropika di Cuba,
Kedua, di negara Bangladesh yang telah berjaya mengurangkan efek bencana Taufan Sidr pada tahun 2007 dan
Ketiga, di Tohoku, Jepun ketika berlaku bencana gempa bumi dan tsunami pada tahun 2011.

Dalam konteks Malaysia, usaha telah banyak dilakukan untuk berhadapan dengan risiko bencana, namun realiti yang berlaku menunjukkan ketidakcekapan dan ketidakmampuan kerajaan untuk mengurangkan risiko tersebut. Contohnya, penggubalan Akta Pemuliharaan Tanah 1960, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Begitu juga dengan projek-projek tebatan banjir yang diperuntukkan di bawah RMK Ke-8 dan RMK Ke-9.

Saya ingin memetik tulisan seorang Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi dan Multimedia, Universiti Utara Malaysia. Beliau mendakwa daripada satu temubual yang dilakukan kepada 22 orang mangsa bencana banjir lumpur di Cameron Highland (2013), hampir semua responden berpandangan bahawa dasar pengurusan bencana terutamanya aspek amaran yang menggunakan siren tidak berkesan.

Ini menunjukkan komunikasi peringkat tempatan dan komunikasi pelbagai peringkat masih belum menunjukkan keberkesanannya. Kita tidak boleh bergantung kepada penggunaan aplikasi media sosial, sistem automatik SMS dan laman sesawang sahaja kerana bencana boleh berlaku di lokasi pendalaman yang kurang atau tidak mendapat aksesibiliti internet.

Saya juga tekankan, ia bukan hanya fokus kepada pertambahan aset, malah latihan-latihan perlu juga dilaksanakan di pelbagai peringkat untuk meningkatkan tahap kesedaran dan kecekapan masyarakat.

Saya juga ingin menegur satu situasi yang tidak wajar berlaku di Pihak Pengurusan Bencana negeri mahupun daerah tidak melibatkan kami wakil rakyat dari pembangkang, sama ada ahli parlimen mahupun ahli dewan undangan negeri ke mesyuarat pengurusan banjir.

Kami juga perlukan maklumat serta tindakan yang betul, cepat dan tepat untuk membantu rakyat yang dilanda banjir tempohari. Saya harap di lain masa, kami dilibatkan bersama untuk membantu rakyat yang kesusahan. - HARAKAHDAILY 17/3/2015

Share on Myspace