Doktor Kedah dan Perlis tolak pengasingan dispensari

IZWAN ABDUL HALIM | .

ALOR SETAR: Himpunan Doktor-doktor Swasta Kedah dan Perlis sebulat suara menolak Dasar Pengasingan Dispensari (DS) dan draf Rang Undang-undang Farmasi yang bakal diusulkan ke Parlimen.

 
Sehubungan itu, satu memorandum telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Kedah menerusi Exco Kesihatan, Datuk Dr Leong Yong Kong di Wisma Darul Aman.
 
Menurut Pengerusinya, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib, pihaknya terlebih dahulu telah mengadakan perjumpaan seluruh ahlinya yang menghasilkan resolusi terhadap perkara tersebut pada 27 Februari lalu.
 
“Dasar ini akan meningkatkan kos kesihatan terhadap pesakit dan menjadi beban dalam realiti rakyat Malaysia majoritinya berpendapatan rendah dan sederhana serta masih kurang kesedaran terhadap khidmat kesihatan dan keperluan jaminan kesihatan holistik.
 
“Sedangkan, perkhidmatan Klinik Swasta di negara ini yang berkonsep di bawah satu permis telah menjadi ‘One Stop Centre’ yakni memberi kemudahan kepada pesakit untuk mendapat khidmat rawatan dan perubatan yang terjamin selaras Akta PHSFA 1999/2006.
 
“Malah, dasar ini akan menimbulkan keraguan terhadap jaminan keselamatan pesakit seandainya diagnosis dilakukan di kaunter farmasi atau oleh pihak tidak berkelayakan. Selain kemungkinan berlaku deskripsi yang tidak dipatuhi atau dipalsukan,” ujarnya menerangkan kandungan resolusi tersebut.
 
Terangnya, negara ini tidak memerlukan pelaksanakan dasar tersebut kerana telah terlihat banyak kelemahan dan kegagalannya sebagaimana yang diamalkan negara-negara tertentu contohnya di Jepun dan Korea.
 
Seharusnya ujar beliau, diteliti secara lebih mendalam usaha untuk meningkatkan tahap kecekapan sistem penyampaian dan tenaga kerja kesihatan kepada rakyat agar kos paling optimum untuk mendapatan rawatan terbaik dapat disediakan.
 
Katanya, penggubalan Rang Undang-Undang Farmasi yang baharu juga dilihat cenderung untuk kewujudan ‘Kapitalisasi’ Industri Kesihatan di negara ini.
 
“Ia terbuka kepada manipulasi dan monopoli melalui bidang farmaseutikal bagi membolot kekayaan kepada pihak tertentu, sekali gus menindas rakyat secara keseluruhannya. Malah, ia membuka kepada laluan korupsi yang tidak berkesudahan di dalam negara.
 
“Jadi, rang ini perlu ditolak, sebaliknya yang diperlukan hanyalah penambahbaikan kepada akta sedia ada supaya tiada pihak tertentu yang berniat jahat untuk menggunakannya sebagai batu loncatan bagi memanipulasi sistem kesihatan di negara ini.

“Sistem Kesihatan negara pada masa kini, sama ada sektor awam mahupun swasta sudah dikenal pasti oleh WHO sebagai antara yang terbaik di dunia. Oleh itu sewajarnya ia dikekal dan diteruskan untuk kebaikan pesakit atau rakyat di negara ini,” jelasnya.

Menurut Hamdan, sebagai langkah susulan, pihaknya sedang menyediakan referendum yang akan dikemuka dan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, serta bergerak memberi penerangan kesedaran kepada masyarakat terhadap isu tersebut.

Beliau turut mendesak Kementerian Kesihatan untuk lebih telus berbincang dengan semua wakil dan pihak yang ada kaitan dengan amalan perkhidmatan kesihatan di negara ini dalam menjayakan Sistem Transformasi Kesihatan Negara.
 
“Jangan lakukan perbincangan di luar pengetahuan mereka yang terlibat secara langsung dengan perawatan para pesakit seperti Pengamal Perubatan Swasta yang ada hubungan langsung dalam membantu sistem kesihatan primer masyarakat.
 
“Kami juga memberi amaran kepada individu tertentu supaya jangan menjatuhkan imej Pengamal Perubatan melaui fitnah tanpa bukti bagi meraih simpati masyarakat. Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bersabit dengan tindakan jahat seperti itu.
 
“Kita seharusnya memelihara hubungan baik antara Pengamal Perubatan dan Farmasi. Di Kedah, kami telah melantik pihak guaman untuk meneliti klip video ucapan pihak tertentu untuk diambil tindakan yang selanjutnya ke atas mereka,” nasihatnya. – HARAKAHDAILY 17/3/2015

Share on Myspace